Tertuduh, Nor Ain Ashikin Husin, 26 dibawa ke Mahkamah Sesyen Temerloh kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

TEMERLOH – Seorang bekas Pembantu Taska didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh kerana menganiaya seorang kanak-kanak berusia dua tahun di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Mentakab, di sini.

Tertuduh, Nor Ain Ashikin Husin, 26 bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun telah menganiayai kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 11 Ogos 2026  kira-kira jam 9.45 pagi di sebuah Taska di Taman Keramat Indah, Mentakab, di sini.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar memohon agar RM10,000 wang jaminan dikenakan terhadapnya, namun Peguamnya, Mohd Falihin Kamil Mohamed Sazali memohon wang jaminan yang paling minimum.

Dalam hujahannya, Mohd Falihin berkata, anak guamnya yang sudah tidak bekerja itu masih perlu menanggung seorang ibu yang sudah uzur.

Tambahnya, ahli keluarga anak guamnya itu hanya sempat mengumpul sejumlah RM5,000 sejak tarikh dia ditahan pihak polis.

Susulan hujah tersebut, Hakim Jamaludin Mat mengenakan wang jaminan RM5,000 bersama seorang penjamin bercagar terhadap tertuduh selain syarat tambahan, dia tidak boleh kacau ganggu mangsa dan saksi, serta perlu melapor diri di Balai Polis terdekat dengan rumahnya setiap bulan.

Hakim turut menetapkan tarikh 14 Oktober 2026 untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Dua kakitangan taska direman kes kekasaran kanak-kanak di Temerloh, Kuantan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here