KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat bukan sekadar menentukan kerajaan negeri baharu, sebaliknya berpotensi menjadi ukuran penting terhadap kekuatan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan pimpinannya.
Penulis dan penganalisis isu semasa, Elviza Michele Kamal berpandangan keputusan yang bakal dibuat pengundi Johor akan memberi kesan jauh lebih besar daripada sekadar perubahan di peringkat negeri.
Menurut beliau, perkembangan politik yang berlaku pada 1 Jun lalu memberi isyarat bahawa Johor kini berada di persimpangan penting dalam landskap politik negara.
“Dalam seni politik Nusantara, apa yang tersirat lazimnya lebih bermakna daripada yang tersurat.
“Pembubaran DUN Johor pada hari sama selepas titah Yang di-Pertuan Agong mengenai kepentingan menjunjung prinsip Rukun Negara menjadikan PRN kali ini lebih signifikan daripada kebiasaan,” katanya dalam satu analisis yang dikongsikan hari ini.

Elviza berkata, walaupun mandat kerajaan negeri masih berbaki kira-kira 10 bulan, keputusan untuk membubarkan DUN membuka ruang kepada rakyat Johor memberikan mandat baharu yang menurutnya akan memberi kesan kepada hala tuju politik nasional.
Beliau turut mengimbas keputusan PRN Johor 2022 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, termasuk majoriti dua pertiga yang membolehkan kerajaan negeri mentadbir dengan selesa.
Katanya, kemenangan besar itu meletakkan BN dalam kedudukan yang kukuh untuk mempertahankan penguasaan mereka, lebih-lebih lagi selepas gabungan itu memutuskan untuk bertanding secara solo pada pilihan raya kali ini.
Dalam masa sama, Elviza berpandangan Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran lebih besar berbanding empat tahun lalu susulan beberapa perkembangan politik terkini yang menurutnya memberi kesan terhadap persepsi dan moral penyokong gabungan tersebut.
Beliau turut merujuk kepada pergolakan dalaman yang melibatkan beberapa tokoh utama PH termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, selain perdebatan berterusan membabitkan hubungan antara parti-parti dalam gabungan kerajaan.
“PH akan memasuki PRN Johor dalam keadaan yang jauh berbeza berbanding tahun 2022.
“Beberapa perkembangan mutakhir memberi cabaran kepada usaha mereka untuk mengekalkan pengaruh khususnya di kawasan bandar,” ujarnya.
Pada masa sama, Elviza menyifatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai antara faktor yang mengukuhkan kedudukan BN menjelang pilihan raya tersebut.
Beliau berkata, prestasi pentadbiran kerajaan negeri sejak 2022 terutama dalam aspek ekonomi, pelaburan dan kebajikan rakyat memberikan kelebihan kepada kepimpinan negeri ketika ini.
Menurutnya, Johor berjaya mencatat hasil negeri sebanyak RM2.67 bilion selain merekodkan pelaburan diluluskan mencecah RM110 bilion pada 2024.
Katanya lagi, pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 6.4 peratus bagi tahun berakhir 2024 serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah agenda Kasih Johor turut mengukuhkan imej kerajaan negeri di mata rakyat.
“Siapa yang bakal menerajui Johor selepas pilihan raya nanti mungkin menjadi persoalan yang sedang diperhatikan ramai.
“Namun yang lebih penting, keputusan PRN Johor kali ini berpotensi menjadi petunjuk awal terhadap sentimen rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang,” jelas beliau. -MalaysiaGazette
















