Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah.

KUALA LUMPUR – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada lewat malam tadi menimbulkan pelbagai persoalan yang wajar dijawab secara terbuka kepada rakyat.

Apatah lagi hari ini sepatutnya berlangsung Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dikatakan mempunyai kaitan dengan usaha menyelesaikan isu utama yang sedang membelenggu Negeri Sembilan, iaitu berkaitan institusi diraja dan kedudukan pemerintahan negeri.

Sehubungan itu, menurut Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah, timbul persoalan mengapa pembubaran DUN dilakukan tergesa-gesa iaitu beberapa jam sebelum sidang tersebut berlangsung.

“Mengapa tidak menunggu terlebih dahulu keputusan dan ketetapan yang bakal dibuat oleh DKU sebelum mengambil langkah besar membubarkan DUN?

“Adakah terdapat kebimbangan bahawa keputusan DKU bakal memberi kesan terhadap kedudukan atau tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri sebelum ini?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Armand Azha, sekiranya kerajaan negeri benar-benar yakin bahawa segala tindakan yang telah dibuat adalah selaras dengan Perlembagaan Negeri Sembilan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, mengapa perlu bertindak pada saat-saat akhir.

Selain itu, ujarnya, rakyat juga perlu diberi penjelasan sama ada pembubaran ini mempunyai kaitan dengan hakikat bahawa 6 Jun merupakan tarikh akhir yang mewajibkan persidangan DUN diadakan mengikut kehendak perlembagaan, sebelum DUN berdepan risiko terbubar secara automatik.

“Adakah pembubaran ini merupakan langkah pentadbiran yang biasa, atau sebenarnya satu usaha untuk mengelakkan implikasi yang mungkin timbul daripada perkembangan yang bakal berlaku dalam sidang DKU?” katanya.

Apa yang pasti, ujar beliau, tindakan yang diambil pada saat-saat akhir ini bukan meredakan persoalan yang sedang timbul, malah membuka ruang kepada lebih banyak tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Jelasnya, rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan yang telus, jujur dan menyeluruh agar keyakinan terhadap institusi pemerintahan negeri terus terpelihara.

“Soalan utama adalah adakah pembubaran DUN ini sah kerana kedudukan isu institusi diraja Negeri Sembilan ini masih dalam situasi yang belum ada penyelesaian sehingga hari ini?

“Tetapi apa yang pasti jika mengikut perlembagaan tubuh Negeri Sembilan, pihak kerajaan gagal bersidang dewan undangan negeri dalam masa enam bulan akan terbubar secara automatik,” katanya.

Sementara itu, ujar beliau, bagi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, gendang dan paluan perang telah dibunyikan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh jentera BN negeri memastikan gerak kerja diperkukuhkan disemua peringkat dalam memastikan mendapat kembali mandat rakyat dipentas demokrasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast