KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus memperkukuh agenda pemerkasaan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB 2026) yang bakal berlangsung di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi, 30 Jun ini.
Ketua Pengarah MPOB, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, program tahunan itu menjadi platform strategik bagi mempercepat pengkomersialan teknologi dan inovasi sektor sawit sekali gus membuka peluang ekonomi bernilai tinggi kepada usahawan tempatan.
Menurut beliau, TOT MPOB bukan sekadar platform perkongsian teknologi, malah menjadi pemangkin kepada PMKS untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
“Melalui TOT MPOB, usahawan bukan sahaja memperoleh akses kepada teknologi terkini dan produk inovatif, malah berpeluang menjana pendapatan lebih tinggi menerusi penghasilan produk bernilai tambah yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Sehingga kini, pengkomersialan pelbagai teknologi MPOB di sepanjang rantaian industri telah menjana potensi pasaran bernilai lebih RM6.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PMKS merangkumi 97.4 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia melibatkan lebih 1.2 juta usahawan, justeru penglibatan golongan itu dalam industri sawit perlu terus diperkasakan.
Katanya, TOT MPOB 2026 dirangka secara strategik bagi meningkatkan kebolehpasaran serta daya saing usahawan tempatan selain menyokong kemajuan industri sawit negara.
Program itu menawarkan lebih 300 teknologi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang sedia untuk dikomersialkan oleh industri dan usahawan tempatan.
Selain itu, peserta turut berpeluang meneroka kerjasama awam-swasta (PPP) bagi pembangunan teknologi serta pengkomersialan produk berasaskan sawit.
Antara tarikan utama program berkenaan termasuk pameran teknologi dan produk inovasi sawit, sesi padanan perniagaan, demonstrasi teknologi, sesi konsultasi bersama pencipta teknologi serta peluang pembiayaan dan pembangunan usahawan.
Menurut MPOB, program itu juga menyokong agenda keterjaminan makanan dan ekonomi negara menerusi perluasan penggunaan teknologi tempatan serta mempercepat transformasi industri sawit ke arah ekonomi bernilai tinggi.
Usahawan yang berminat dialu-alukan menghadiri sesi taklimat peluang pengkomersialan teknologi MPOB yang akan berlangsung pada jam 2.30 petang di Ibu Pejabat MPOB bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang perniagaan dan teknologi yang ditawarkan. – MalaysiaGazette
















