KUALA LUMPUR – Langkah terbaik bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya Pas memilih menyertai semula Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO bukanlah mengejar penyatuan tersebut.
Sebaliknya, Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Nor Hizwan Ahmad berkata, Bersatu perlu memperkukuh kedudukan sebagai alternatif politik yang tersendiri.
Menurut beliau, Bersatu perlu mengekalkan jenama Perikatan Nasional (PN) yang telah dibina sejak beberapa tahun lalu.
Ujarnya, walaupun Pas merupakan komponen terbesar PN sebelum ini, identiti PN sebagai blok yang menentang kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan UMNO masih mempunyai nilai politik yang tersendiri.
“Malah, jika Pas meninggalkan PN, ruang politik yang ditinggalkan boleh menjadi peluang kepada Bersatu.
“Bersatu boleh menampilkan dirinya sebagai pilihan kepada pengundi anti-UMNO dan anti-PH serta pengundi muda yang mahukan alternatif baharu atau pengundi atas pagar yang tidak mahu kembali kepada politik lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, untuk mengukuhkan kedudukan tersebut, Bersatu perlu memperluaskan kerjasama dengan parti-parti luar kerajaan, khususnya parti-parti yang berada dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat yang mempunyai matlamat politik yang sehaluan.
“Matlamatnya bukan sekadar menambah jumlah parti dalam gabungan.
“Yang lebih penting ialah membina satu naratif politik baharu yang sesuai dengan realiti politik Malaysia pasca-Undi18,” katanya.
Tambah beliau, politik Malaysia sedang melalui satu proses transformasi yang besar yang mana formula lama yang terlalu bergantung kepada jentera, cawangan dan kesetiaan parti semakin dicabar oleh perubahan teknologi, media baharu dan kemunculan generasi pengundi yang berfikir secara berbeza.
Akhirnya, ujar beliau, pilihan raya akan datang mungkin tidak ditentukan oleh siapa mempunyai jentera terbesar atau siapa mempunyai paling banyak kerusi hari ini.
“Sebaliknya, ia akan ditentukan oleh siapa yang paling berjaya memahami perubahan tingkah laku pengundi dan menawarkan naratif yang paling meyakinkan kepada generasi Malaysia yang semakin bebas daripada kesetiaan politik tradisional,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Pas akan membuat keputusan berkenaan kerjasama dengan Bersatu dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dijadual diadakan Isnin ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat itu bakal memperincikan tindakan lanjut berhubung hasil perbincangan dalam Majlis Syura Ulama Pas baru-baru ini.
Terdahulu, hubungan Pas dan Bersatu kembali tegang apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi memaklumkan parti itu bakal menilai semula kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa melanggar semangat setiakawan dalam PN.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ketetapan sedemikian dibuat ekoran siri tindakan Bersatu yang dilihat kurang menyenangkan Pas sejak akhir-akhir ini. – MalaysiaGazette
















