KUALA LUMPUR – Sembilan remaja lelaki termasuk enam pelajar sekolah ditahan kerana melakukan aksi “wheelie” dan menunggang motosikal secara berbahaya di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan P. Ramlee.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berkata, semua yang ditahan berumur antara 15 hingga 18 tahun.

“Kesemua mereka dipercayai terlibat sebagai penunggang dan pembonceng motosikal dalam kejadian tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain serta diri sendiri.

Sementara itu, JSPT Kuala Lumpur memaklumkan turut melaksanakan operasi mingguan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi hotspot sekitar ibu kota bagi mengesan kegiatan samseng jalanan serta pelbagai kesalahan lalu lintas.

“JSPT Kuala Lumpur memandang serius tindakan segelintir individu yang menjadikan jalan raya sebagai lokasi aksi berbahaya demi kandungan media sosial.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja mengancam keselamatan awam, malah boleh mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast