SHAH ALAM – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi mempersoalkan keikhlasan UMNO dalam mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan apabila parti itu didakwa terus membuka ruang kepada ketidaktentuan politik ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan global.
Beliau berkata, walaupun bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa rundingan dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan masih terbuka, namun persoalan yang lebih besar ialah sama ada UMNO benar-benar komited untuk meneruskan kerjasama yang menjadi asas kestabilan politik negara ketika ini.
Menurutnya, tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor walaupun kerajaan negeri berada dalam keadaan stabil dan memiliki majoriti kukuh menimbulkan pelbagai persoalan.
“Jika benar UMNO ikhlas mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan, mengapa parti itu dilihat terus membuka ruang kepada ketidakstabilan politik?
“Keputusan membubarkan DUN Johor ketika kerajaan negeri masih stabil, mempunyai baki setahun sebelum tamat penggal dan menikmati majoriti selesa sememangnya menimbulkan tanda tanya.
”Ini lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi serta krisis tenaga,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Nabil berkata, hasrat UMNO untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri juga dilihat bercanggah dengan semangat kerjasama yang menjadi asas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Johor sebelum ini telah membantu meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong pelaksanaan projek strategik termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mendakwa kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan berpunca daripada percaturan kuasa melibatkan sebahagian pemimpin UMNO sehingga mewujudkan ketidaktentuan akhirnya memaksa PH mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Negara tidak boleh kembali kepada kitaran ketidakstabilan akibat perebutan kuasa jangka pendek yang akhirnya merugikan rakyat dan ekonomi,” ujarnya.
Beliau turut mengimbau episod ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila UMNO didakwa memberi tekanan politik meskipun ketika itu wujud persefahaman rentas parti menerusi memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan PH bagi menjamin kestabilan negara pasca pandemik Covid-19.
Menurutnya, pengalaman lalu membuktikan tekanan politik dan pilihan raya yang diadakan dalam suasana krisis memberi kesan besar kepada rakyat serta proses pemulihan ekonomi negara.
Sehubungan itu, Nabil menegaskan PH sejak awal memilih pendekatan kompromi dan kerjasama bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan dasar ekonomi negara.
“Realitinya, tiada lagi gabungan politik yang dominan di Malaysia. Kompromi adalah asas pembentukan kerajaan hari ini dan formula inilah yang membantu memulihkan ekonomi negara serta mengembalikan keyakinan pelabur.
“Persoalannya mudah, adakah UMNO mahu terus membina negara secara bersama atau mengulangi politik percaturan ketika krisis yang hanya mengorbankan kepentingan rakyat demi kuasa?” soalnya.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mendedahkan BN terbuka untuk berunding dan mengekalkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan kelak. -MalaysiaGazette
















