Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis perasmian Program 2 Tahun Kerajaan Madani dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen, KLCC. Foto AIZAT ZAINAL, 23 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tokoh reformasi sebenar yang sedang melaksanakan perubahan institusi negara, bukannya bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli atau Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu tidak sepatutnya mendabik dada sebagai pejuang reformasi kerana mereka sendiri pernah berada dalam kerajaan dan menyaksikan pelaksanaan agenda reformasi yang sedang digerakkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Menurutnya, proses reformasi memerlukan ruang dan masa untuk dilaksanakan secara berperingkat, bukannya boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sendiri pernah berada dalam kerajaan dan melihat sendiri bahawa proses reformasi sedang berjalan serta memerlukan ruang dan masa untuk dilaksanakan.

“Antara reformasi yang telah dimulakan oleh Kerajaan MADANI pimpinan Anwar termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) bagi mengawal disiplin kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad.

Faezuddin berkata, kerajaan juga telah memulakan pelbagai langkah pembaharuan lain termasuk memperkukuh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, meningkatkan tatakelola dan ketelusan perolehan kerajaan serta melaksanakan subsidi bersasar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, usaha memperkukuh institusi kehakiman dan membanteras rasuah turut menjadi sebahagian daripada agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Mengulas kenyataan pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau menyifatkan pendirian parti itu yang enggan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai sombong serta tidak berpijak pada realiti politik semasa.

“Dalam realiti landskap politik Malaysia hari ini, semua orang tahu tidak ada mana-mana parti yang boleh mendominasi secara bersendirian.

“Jadi kenyataan seperti itu dilihat sombong dan menutup ruang rundingan serta kerjasama politik demi kestabilan negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya memilih parti yang mempunyai hala tuju politik jelas serta keupayaan membentuk kerajaan selepas pilihan raya, sambil menegaskan PH kekal konsisten menyatakan kesediaan bertanding di semua kerusi dengan calon Perdana Menteri yang jelas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast