KUALA LUMPUR – Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disifatkan sebagai antara pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kekal setia dengan perjuangan reformasi sejak awal, meskipun berdepan pelbagai cabaran politik sebelum dan selepas parti itu membentuk kerajaan.
Penasihat Pertubuhan Kebajikan Impak Madani (Impak Madani), John Ooh Sin Hwa berkata, Farhash tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun berdepan pelbagai tekanan sepanjang perjalanan politiknya.
Menurut beliau, ketika ada pihak memilih untuk meninggalkan perjuangan atau menjauhkan diri daripada kerajaan, Farhash sebaliknya terus memainkan peranan membantu Anwar khususnya dalam usaha memperkukuh agenda reformasi dan pembangunan ekonomi negara.
“Di kala ada yang lari dan meninggalkan medan perang, Farhash kekal setia bersama Anwar Ibrahim dan terus menyemarakkan api reformasi.
“Ketika Anwar menjadi PM, Farhash turut menjayakan usaha melaksanakan reformasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan pelbagai pihak mengenai peranan Farhash dalam perjuangan reformasi yang diasaskan Anwar sejak sekian lama.
Sebelum ini, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Nor Syamimi Mohamed Adnan turut menyifatkan Farhash sebagai antara individu yang tetap bersama Anwar ketika berdepan pelbagai cabaran serta pergolakan politik.
Menurut Nor Syamimi, penglibatan Farhash dalam PKR bukan didorong kepentingan peribadi meskipun beliau memiliki latar belakang sebagai ahli perniagaan yang berjaya sebelum aktif dalam arena politik.
Katanya, penyertaan Farhash dalam parti itu lebih berasaskan keyakinan terhadap agenda reformasi yang diperjuangkan Anwar dan hasrat untuk melihat perubahan institusi dapat direalisasikan.
Mengulas lanjut, Sin Hwa berkata, pelbagai persepsi negatif yang sering dilemparkan terhadap Farhash tidak mengubah hakikat bahawa beliau telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan program kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Di sebalik pelbagai tuduhan dan serangan yang dibuat pihak tertentu, rekod kerja kebajikan yang dilakukan Farhash membuktikan beliau lebih mengutamakan tindakan berbanding sekadar menabur janji,” katanya. – MalaysiaGazette
















