KUALA LUMPUR – Projek pembangunan bercampur KL360 @ Menara GD yang sebelum ini terbengkalai hampir sedekad kini memasuki fasa baharu apabila GD Properties secara rasmi memulakan kerja pembinaan semula projek berkenaan yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.37 bilion.
Majlis pecah tanah projek yang terletak bersebelahan Stesen MRT Raja Uda di Jalan Tun Razak itu disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini.
Menurut beliau, kebangkitan semula projek tersebut selaras dengan usaha kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menangani isu projek perumahan terbengkalai serta melindungi kepentingan pembeli rumah.
“Ini bukan sekadar permulaan kerja pembinaan, tetapi simbol pemulihan keyakinan, pembinaan semula kepercayaan dan pelaksanaan tanggungjawab yang telah lama tertangguh.
“Setiap projek yang berjaya dipulihkan mewakili keluarga sebenar, aspirasi yang nyata dan pembaharuan masa depan kepada pemilik rumah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Projek KL360 @ Menara GD dibangunkan semula dengan visi baharu untuk menjadi mercu tanda seni bina dan pelancongan di ibu negara, sekali gus memberi harapan kepada pembeli yang menantikan kemajuan projek tersebut sejak sekian lama.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kumpulan GD Properties, Datuk Wong Seng Tong berkata, syarikat berkenaan mengambil peranan sebagai “white knight” bagi menyelamatkan dan menyiapkan projek terbabit.
Menurutnya, langkah itu sejajar dengan aspirasi KPKT untuk mencapai sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030.
“Majlis pecah tanah hari ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan pembangunan ini dapat disiapkan dengan jayanya dan penuh tanggungjawab.
“Kami memahami betapa pentingnya projek ini kepada mereka yang telah menunggu bertahun-tahun untuk melihat ia digerakkan ke hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPKT serta rakan strategik termasuk Bank Rakyat dan China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd atas sokongan dalam menjayakan pembangunan tersebut.
Menurut KPKT, lebih 1,500 projek perumahan melibatkan lebih 176,000 unit kediaman dengan jumlah GDV melebihi RM140 bilion telah berjaya dipulihkan atau dikeluarkan daripada status terbengkalai sejak 2023 menerusi pelbagai inisiatif kerajaan.
Apabila siap pada 2030, KL360 @ Menara GD setinggi 61 tingkat bakal menempatkan 785 pangsapuri kediaman berlayanan, 221 suite pejabat serta 20 lot runcit.
Projek itu turut menawarkan pelbagai tarikan termasuk dek tinjau 360 darjah seluas 25,000 kaki persegi, kolam renang tebing sepanjang 60 meter, laluan pejalan kaki udara, zon taman air udara dan gelongsor kaca udara terpanjang di Malaysia.
Pembangunan tersebut dijangka menjadi antara mercu tanda baharu Kuala Lumpur dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi peluang pekerjaan serta aktiviti komersial yang lebih rancak. – MalaysiaGazette















