Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz (tiga kiri) diiringi bersama Ketua Penerangan MUDA, Rasid Abu Bakar (dua kiri) dan Setiausaha Agung Muda, Ainie Haziqah Shafiee (tengah) bergambar selepas selesai sidang media khas berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat MUDA, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 Jun 2026.

PETALING JAYA – Krisis Negeri Sembilan melibatkan institusi diraja tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri tersebut sepatutnya meneruskan pentadbiran sehingga hujung tahun depan tanpa mengutamakan kuasa dan percaturan politik semata-mata.

“Ada pemimpin PH kata, DUN Negeri Sembilan (bubar) kerana krisis. Krisis yang berlaku adalah krisis raja-raja apa kaitan kamu dengan raja?

“Apa yang orang politik buat sekarang ini adalah bersembunyi di sebalik institusi raja, mencemarkan institusi raja hanya demi kepentingan politik.

“DUN Negeri Sembilan sepatutnya dibubarkan hujung tahun depan. Mandat ini sepatutnya diteruskan tetapi kerana ahli politik lebih banyak berfikir tentang jawatan, kuasa dan bila pilihan raya yang boleh memberi kemenangan mereka memilih percaturan politik,” katanya ketika sidang media hari ini.

Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz bercakap pada sidang media khas berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat MUDA, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 Jun 2026.

Justeru Amira berpendirian bahawa pembubaran DUN negeri itu tidak patut berlaku sama seperti pembubaran DUN Johor sebelum ini.

Jelasnya, situasi itu hanya akan mengakibatkan tumpuan ahli politik beralih kepada usaha berkempen berbanding tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

“Sepatutnya DUN Johor dibubarkan pada awal tahun depan. Kerajaan sepatutnya menumpukan kepada hal-hal rakyat, urusan bajet negeri dan sebagainya. Sekarang ini kerana DUN dibubar kerajaan fokus kepada pilihan raya.

“Ahli-ahli politik beralih fokus kepada pilihan raya dan kempen bukannya isu-isu rakyat. Ini sangat tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Sementara itu, Amira berkata, Biro Politik MUDA membuat keputusan untuk menyertai PRN Johor.

Selain bakal mengekalkan kerusi DUN Puteri Wangsa, katanya, parti itu akan mengumumkan keputusan berkenaan jumlah keseluruhan kerusi yang bakal ditandingi MUDA.

Tambahnya, MUDA juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan blok pembangkang yang lain demi memastikan tiada pertembungan kerusi sesama mereka pada pilihan raya negeri itu nanti.

“MUDA terbuka untuk berbincang dengan blok pembangkang terutama sekali yang memegang prinsip-prinsip progresif. Ramai tahu MUDA mempunyai hubungan baik dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

“Kita sudah berbincang dengan mereka bukan hanya tentang kerusi tetapi isu dan dasar-dasar negeri Johor kita juga sudah mulakan perbincangan dengan Pejuang,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast