Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penyatuan UMNO dan UMNO di atas platform sama iaitu untuk mempertahankan kedudukan agama Islam, maruah bangsa Melayu, kedaulatan negara dan kebajikan rakyat wajib disokong.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, penyatuan bukan sesuatu yang pelik atau tidak berprinsip, sebaliknya merupakan tindakan yang sangat logik dan matang dalam dunia politik.

Ujarnya, politik pada hakikatnya adalah tentang kuasa untuk memerintah; mentadbir negara dan negeri serta melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan tanah air.

Tambah beliau, orang Melayu dan umat Islam tidak boleh berpura-pura politik itu kotor semata-mata, sebaliknya politik adalah alat dan sama ada digunakan untuk kebaikan atau kejahatan, semuanya bergantung kepada mereka yang memegangnya.

“Kita tidak mahu politik yang memecahbelahkan umat. Kita mahu politik yang menyatukan. Bukan untuk kepentingan peribadi pemimpin, tetapi untuk kepentingan jangka panjang umat Melayu dan Islam,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Azizi Safar.

Tambah Azizi, dasar-dasar pendidikan yang berteraskan akhlak Islam, ekonomi yang memberdayakan ummah, perlindungan institusi Raja-Raja Melayu, hukum syariah yang adil, serta kedaulatan bahasa dan budaya Melayu semuanya memerlukan kuasa politik yang kukuh.

Sehubungan itu, jelas beliau, penyatuan antara UMNO dan Pas bukanlah pengkhianatan kepada prinsip, sebaliknya adalah kematangan politik.

“Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW pernah membuat perjanjian dan pakatan politik demi menjaga umat.

“Maka mengapa kita, sebagai umat yang sama, tidak boleh melakukan yang sama demi masa depan?” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati penyokong-penyokong UMNO dan Pas supaya tidak membiarkan ego, dendam lama atau perbezaan kecil menghalang kebaikan yang lebih besar.

Ujarnya, orang Melayu dan Islam sedang menunggu dan mahu melihat kepemimpinan yang bijak, bukan kepemimpinan yang suka bergaduh sesama sendiri sementara pihak lain merebut kuasa.

“Politik Melayu dan Islam memerlukan kesatuan.

“Bukan kesatuan buta, tetapi kesatuan yang berprinsip: berlandaskan agama, berorientasikan keadilan dan berfokus kepada kesejahteraan ummah.

“Doakan agar penyatuan ini membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast