BATU PAHAT – Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menghabiskan penggal pentadbiran tanpa terikut-ikut langkah beberapa kerajaan negeri yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebagai pentadbiran yang menerima mandat rakyat, Perdana Menteri perlu melengkapkan tempoh lima tahun bagi mengelakkan episod kerajaan tak cukup sepenggal berulang kembali.
”Alhamdulillah, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas dasar saling menghormati ini berjalan dengan baik selama lebih tiga tahun diterajui Anwar.
“Rakyat Johor bijak memilih dan saya yakin Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan momentum di Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) demi keamanan seluruh negara,” katanya ketika berucap bersempena peluncuran jentera Pakatan Harapan di sini hari ini.
Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, unjuran ekonomi negara berada di landasan positif dan ia dibuktikan menerusi pengukuhan nilai mata wang berbanding negara jiran serta kestabilan harga barangan asas.
“Kedudukan ringgit semakin kukuh, sekaligus meningkatkan kuasa beli rakyat termasuk untuk sektor pelancongan serantau. Tengok sahaja cuti empat hari, ramai rakyat kita pergi Hatyai, sebab apa? Kerana mata wang kita lebih tinggi,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, dengan mekanisme penarikan subsidi ayam dan telur yang dibuat secara teliti selepas perbincangan berkali-kali bersama Perdana Menteri memberikan impak harga yang stabil selepas dua tahun.
“Berbilion ringgit subsidi dan insentif seperti program Rahmah terus dipertahankan demi membela nasib golongan B40. Sudah-sudahlah dengan naratif politik lapuk yang sering memainkan sentimen perkauman seperti isu 13 Mei.
“Hentikanlah serta-merta. Patutnya kalau Nampak kaum lain lebih bercaya, orang Melayu kena berani bersaing secara sihat berasaskan merit dan kerja keras,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, sentimen lama itu sudah tidak perlu dan apa yang penting adalah bersaing.
“Saya mahu melihat lebih ramai Bumiputera yang berbakat terutamanya dalam sektor pertanian tampil dan kerajaan sedia membantu bersungguh-sungguh,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















