PUTRAJAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan MCA dan MIC esok bagi memuktamadkan penyertaan serta agihan kerusi parti-parti komponen itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dedah beliau, proses pemilihan calon BN kini berada di peringkat akhir dengan senarai calon UMNO hampir selesai.
Namun, pada masa sama keputusan daripada MCA dan MIC dijangka melengkapkan persiapan gabungan itu untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, perbincangan bersama kedua-dua parti komponen itu penting bagi memastikan semua keputusan berkaitan calon dan kerusi dapat diselaraskan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Johor hampir dimuktamadkan. Saya akan mengadakan perbincangan dengan MCA dan MIC esok bagi mendapatkan pendirian akhir mereka sebelum keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, proses pemilihan calon parti itu kini hampir selesai dan dijangka dapat dimuktamadkan sepenuhnya minggu depan.
Katanya, pengumuman calon akan dibuat kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon.
Pada masa sama, beliau mengesahkan BN akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya yang dijangka berlangsung bulan depan.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan BN Johor bersedia bergerak secara solo dan meletakkan calon di semua kerusi yang dipertandingkan.
Mengulas perkembangan politik di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, BN masih membuka ruang perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung bentuk kerjasama yang boleh diwujudkan menjelang pilihan raya negeri itu.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan kerjasama akan dibincangkan di peringkat kepimpinan kedua-dua gabungan sebelum dimuktamadkan.
Khamis lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat.
PH sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk mempertahankan kesemua 36 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.
Pada PRN Johor 2022, BN mencatat kemenangan besar apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi. -MalaysiaGazette
















