SEREMBAN – Susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), suara akar umbi di DUN Paroi dilihat semakin lantang menggesa Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan calon muda bagi merampas semula kerusi berkenaan.
Desakan itu timbul susulan spekulasi parti berkenaan mungkin menamakan calon veteran untuk bertanding di kawasan tersebut, walaupun Paroi mempunyai komposisi pengundi muda yang besar dan semakin berpengaruh dalam menentukan keputusan pilihan raya.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, seorang pemimpin parti yang juga wakil tempatan yang enggan namanya didedahkan berkata, pemilihan calon kali ini perlu dibuat berdasarkan realiti semasa dan bukannya sekadar memenuhi kehendak pihak tertentu dalam parti.
Menurut beliau, DUN Paroi yang mempunyai kira-kira 70,000 pengundi merupakan antara kerusi terbesar di Negeri Sembilan dengan hampir 60 peratus daripadanya terdiri daripada golongan berusia antara 18 hingga 39 tahun.
“Apabila majoriti pengundi adalah anak muda, sudah tentu timbul persoalan sama ada strategi mempertaruhkan calon berusia sekitar 70 tahun adalah pendekatan terbaik untuk menghadapi pilihan raya kali ini.
“Ini bukan soal menolak pengalaman atau jasa seseorang, tetapi soal strategi politik dan kebolehmenangan. Parti perlu melihat apa yang dikehendaki pengundi, bukan sekadar menyelesaikan tuntutan dalaman,” katanya.
Beliau berkata, landskap politik kini jauh berbeza berbanding sedekad lalu apabila pengundi muda lebih cenderung menilai calon berdasarkan kemampuan memahami isu semasa, kebolehcapaian serta idea yang dibawa untuk masa depan kawasan mereka.
Katanya, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan masa depan ekonomi menjadi antara perkara dekat dengan kelompok pengundi muda yang kini membentuk majoriti di Paroi.
“Setiap kali berlaku perebutan untuk menjadi calon, apa yang sering berlaku ialah keputusan dibuat bagi memuaskan hati mereka yang mahu bertanding.
“Malangnya, soal siapa yang mempunyai peluang terbaik untuk menang dan menarik sokongan majoriti pengundi kadangkala tidak diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya.
Paroi sebelum ini merupakan kerusi milik Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH), namun tewas pada pilihan raya lalu.
Justeru, menurut sumber berkenaan, PRN kali ini seharusnya menjadi medan untuk Amanah melakukan pembaharuan dan menampilkan calon yang mampu membawa semangat baharu kepada pengundi.
“Kalau benar Amanah mahu merampas semula Paroi, parti perlu berani membuat keputusan yang mencerminkan kehendak semasa pengundi.
“Paroi bukan kerusi kecil. Dengan hampir 70,000 pengundi, ia antara kerusi paling besar di Negeri Sembilan dan memerlukan calon yang mampu mendekati semua lapisan masyarakat terutama generasi muda,” tegasnya.
Dalam masa sama, media sosial sejak beberapa hari lalu turut menyaksikan kemunculan beberapa poster dan infografik yang mengangkat tema kepimpinan muda menjelang PRN Negeri Sembilan.
Antara yang menarik perhatian ialah poster bertemakan #DunParoiMahuOrangMudo yang menggesa Amanah Negeri Sembilan memberi peluang kepada calon muda untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Turut tular beberapa infografik menghuraikan kelebihan calon muda termasuk kemampuan memahami isu semasa generasi baharu, penggunaan media sosial lebih berkesan, pendekatan komunikasi yang lebih dekat dengan pengundi serta keupayaan membawa idea dan perspektif baharu.

Mengulas perkembangan itu, sumber berkenaan berkata, beliau tidak mengetahui pihak yang menghasilkan bahan-bahan tersebut, namun percaya ia mencerminkan sentimen yang semakin berkembang dalam kalangan sebahagian pengundi dan penyokong di kawasan tersebut.
“Betul atau tidak sentimen itu, kita tidak boleh nafikan bahawa ia sedang diperkatakan secara terbuka.
“Apabila hampir 60 peratus pengundi di Paroi terdiri daripada golongan muda, sudah tentu akan timbul harapan supaya parti mempertimbangkan calon yang lebih dekat dengan kelompok tersebut,” jelasnya.
Menurut beliau, faktor umur semata-mata bukan jaminan kemenangan.
Sebaliknya gabungan antara pengalaman, kewibawaan dan kemampuan mendekati generasi muda akan menjadi antara penentu penting dalam usaha Amanah menawan semula kerusi Paroi pada PRN Negeri Sembilan kali ini. – MalaysiaGazette.
















