BATU PAHAT – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak gentar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ini dibubarkan dalam secara tiba-tiba kerana sudah pun bersedia berdepan pilihan raya negeri (PRN).
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, walaupun DUN Johor dibubarkan dalam keadaan yang luar biasa, PKR sudah lama melakukan persiapan untuk PRN.
“Tidak sama sekali, kita juga sudah bersedia bila-bila masa masuk PRN. Dia agak luar biasa, kenapa tiba-tiba nak bubar DUN? Kalau dia kata keadaan politik tak stabil, kat mana tu (yang tidak stabil),” katanya.
Ahli Parlimen Sekijang itu berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre di sini malam ini.
Dr Zaliha berkata, peruntukan RM90 juta bagi pelaksanaan PRN Johor sewajarnya digunakan untuk pembangunan rakyat terutama dalam suasana ekonomi geopolitik global tidak menentu.
Menurutnya, dengan jumlah penduduk Johor yang dianggarkan sekitar 4.2 juta orang, dana sebesar itu sepatutnya dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, keutamaan seharusnya diberikan kepada projek pembangunan, penyediaan kemudahan awam serta program yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.
“Wang yang digunakan untuk mengadakan pilihan raya sepatutnya boleh disalurkan kepada pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut memuji komitmen pimpinan kerajaan Persekutuan yang menurutnya sentiasa berusaha memastikan hasil kekayaan negara dapat dinikmati oleh rakyat.
“Pemimpin seperti Anthony Loke dan Mohamad Sabu dan barisan Kabinet yang bekerja keras bagi melaksanakan dasar serta program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan jentera dan penyokong PH supaya tidak mengambil mudah persiapan menghadapi PRN Johor yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya Julai ini.
Katanya, pencapaian pada pilihan raya lalu yang menyaksikan gabungan itu hampir memenangi 14 kerusi perlu dijadikan pembakar semangat untuk memperkukuhkan gerak kerja di semua peringkat.
“Sekarang masanya untuk kita bekerja lebih kuat. Kita perlu memastikan semua penyokong dan pengundi yang bersama perjuangan ini keluar mengundi apabila tiba masanya nanti,” katanya.
Beliau turut menyeru ahli dan penyokong parti supaya meminta pengundi yang berada di luar Johor termasuk mereka yang bekerja di Singapura agar pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Jika ada anak-anak, saudara-mara atau kenalan yang bekerja di Singapura dan di luar Johor, pastikan mereka pulang mengundi. Setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















