KUALA LUMPUR – Pelakon Syida Melvin mendakwa dia menjadi mangsa penipuan seorang individu yang bergelar ‘Cikgu Cukai’ sehingga menjejaskan perjalanannya untuk ke luar negara.

Syida atau Nur Syifa Assyida Amirol Melvin, 29, berkata, namanya masih disenarai hitam daripada ke luar negara biarpun pihaknya sudah pun melunaskan tanggungjawab membayar cukai pendapatan tahunan.

Jelasnya, dia sudah beberapa hari cuba menghubungi individu berkenaan untuk menyelesaikan perkara tersebut namun usahanya menemui kegagalan.

“Matilah nasib hang, ‘Cikgu Cukai’. Ada satu masa itu pihak kami cuba hubungi dia berhari-hari namun tidak berjawab.

“Sudah bayar cukai persendirian dekat dia setahun yang lepas dan kami ingatkan sudah selesai tahun ini.

“Tapi apabila semak nama untuk pergi melancong, tiba-tiba merah,” tulisnya dalam satu hantaran di Threads miliknya di sini hari ini.

Sementara itu, adiknya, Syifa Melvin dalam satu hantaran berbeza turut mendedahkan pengalaman sama berhubung pembayaran cukai.

“Aku baru teringat kes tahun 2023, aku tersangkut dekat imigresen Padang Besar. Sedangkan sudah bayar personal tax, tiba-tiba kena bayar RM2,300 pula.

“Jadi, yang aku bayar sebelum ini apa ya? Kaki pusingnya dia (Cikgu Cukai) ini, narsistik,” tulisnya.

Sebelum ini, seorang lagi kakak Syifa iaitu Syatilla menerusi hantaran di Threads meluahkan rasa kesal apabila dia dan adik-beradiknya yang lain dianiaya berkaitan urusan cukai.

Dia turut mendedahkan perniagaan adik-beradik mereka iaitu Kekasih HQ perlu membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM700,000.

“Aku ingat Kekasih (bisnes) sahaja yang kena bayar LHDN sampai RM700,000. Rupanya ramai lagi pengasas yang terkena.

“Aku tidak suka untuk tumpahkan ‘teh’ sebab tak minum, aku lebih suka Matcha Latte. Cuma satu sahaja soalan, macam mana boleh tidur lena aniaya orang ya?” soalnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast