KUALA LUMPUR – Filem seram dramatik Khadam memperkenalkan lagu tema rasmi (OST) berjudul ‘Tak Berlagu’ iaitu sebuah karya yang membawa emosi filem itu ke dalam bentuk muzik dengan penuh rasa dan ketelitian.
Mengangkat kisah kehilangan, kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu, lagu itu menggambarkan rintihan dan doa yang terpendam dalam usaha melindungi insan yang tersayang.
Dipersembahkan oleh Ernie Zakri dengan gubahan oleh Rendra Zawawi bersama NJWA serta lirik yang ditulis sepenuhnya oleh NJWA, ‘Tak Berlagu’ dibentuk mengikut
perkembangan emosi watak Melor dari awal hingga akhir.
Melodinya bermula dengan nada yang tenang sebelum beralih kepada rasa yang semakin berat, selari dengan situasi yang dihadapi oleh watak tersebut.
Menurut Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar, kekuatan lagu itu terletak pada susunan muziknya yang dirancang dengan teliti.
“Apa yang menjadikan susunan muzik ini istimewa adalah garapan melodi dan ritmanya yang dibina dengan jelas dari segi teknik dan emosi, seiring dengan jalan cerita serta perjalanan watak utama iaitu Melor,” katanya.
Berbeza daripada kebiasaan genre seram yang bergantung kepada elemen kejutan, Khadam memberi penekanan kepada penceritaan melalui emosi dan suasana, dengan
muzik memainkan peranan utama dalam membentuk pengalaman keseluruhan filem.
“Dalam Khadam, muzik dibina untuk menyampaikan emosi dengan tepat. ‘Tak Berlagu’ berkembang daripada ruang sunyi yang menjadi asas kepada perasaan watak,” jelas
Rendra Zawawi pula.
Beliau turut menambah bahawa kerjasama bersama NJWA membantu memperhalusi emosi lagu itu.

Sebagai seorang ibu, NJWA berjaya menzahirkan melodi dengan rasa yang lebih dekat dan jujur,” tambahnya yang mana lagu itu turut disusun dan diterbitkan oleh Rendra sendiri.
Dari segi pembikinan, ‘Tak Berlagu’ melalui proses adunan oleh Alvin Wee iaitu anak kelahiran Malaysia yang kini menetap di Los Angeles serta proses ‘mastering’ oleh Jett Galindo yang kedua-duanya merupakan pemenang Anugerah Grammy.
Lagu itu turut dirakam menggunakan orkestrasi alat muzik akustik secara langsung seperti piano, violin, viola, cello dan double bass, sekali gus membentuk pengalaman mendengar yang lebih menyeluruh.
Bagi Ernie Zakri, keputusannya untuk terlibat dalam ‘Tak Berlagu’ hadir daripada hubungan emosi dengan cerita yang dibawakan.
“Saya terpanggil kerana jalan cerita ini sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang ibu. Apabila mengetahui ia merupakan kerjasama antara Rendra dan NJWA, saya terus yakin untuk menerimanya,” jelas Ernie.
Penghayatan terhadap watak Melor turut memberi kesan sepanjang proses rakaman.
“Sepanjang rakaman, air mata saya tidak berhenti mengalir kerana saya benar-benar dapat merasai emosi itu,” tambahnya.

NJWA serta lirik yang ditulis sepenuhnya oleh NJWA.
Sementara itu, “Tak Berlagu” merupakan kerjasama antara Komet Productions, Red Communications dan Universal Music Malaysia yang menggabungkan kepakaran produksi filem, komunikasi strategik dan penerbitan muzik dalam satu dalam satu kolaborasi yang saling melengkapi.
Pihak Universal Music Malaysia memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Ernie kerana kemampuan uniknya untuk menterjemahkan kesakitan dan harapan melalui
kawalan vokal yang dinamik.
Menurut Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, kerjasama ini didorong oleh kekuatan cerita Khadam yang turut dihidupkan oleh lagu.
Sementara itu, “Tak Berlagu” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasmi akan dilancarkan tidak lama lagi di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.
Khadam akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini di mana untuk perkembangan terkini, ikuti @khadamthemovie di TikTok, Instagram, Thread, Facebook dan YouTube. – MalaysiaGazette
















