Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap sempena perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Surat daripada Setiausaha Agung Pas seperti yang disebut dalam kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini adalah jawapan balas terhadap surat yang dihantar Presiden Bersatu berkenaan sebelum ini.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, surat daripada Muhyiddin setebal 13 muka surat itu diterima Pas pada 25 Mei lalu.

Menurutnya, kandungan surat daripada Muhyiddin itu adalah maklum balas Bersatu terhadap satu sidang media oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang usai kuliah pagi Jumaat di Rusila, 22 Mei lalu, mengenai hubungan Pas-Bersatu.

“Oleh kerana ada perkara-perkara yang perlu diperjelaskan PAS dengan lebih lanjut dan terperinci, maka PAS menjawab surat itu. Panjang surat PAS hanya 8 muka surat sahaja.

“Bezanya, PAS tidak buat kenyataan media hanya semata-mata nak beritahu ia menerima surat dan menjawab surat.

“Itulah ceritanya. Sekian,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan menerima surat daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai hubungan antara kedua-dua parti itu.

Menurut Muhyiddin, surat bertarikh semalam itu turut melibatkan cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, ujar Timbalan Pengerusi PN berkenaan, beliau akan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan membawa perkara itu ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk diteliti.

“Bersatu mengulangi tekad dan iltizam kami untuk terus memelihara hubungan baik dengan Pas dalam PN,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast