KUALA LUMPUR – Seorang pelancong lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan sesat ketika menjalankan aktiviti pendakian di Pulau Tioman berjaya ditemukan dalam keadaan selamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan petang semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Supt. Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 5.30 petang daripada pengurusan sebuah resort di Pulau Tioman mengenai kehilangan pelancong dewasa itu yang gagal pulang ke penginapannya selepas melakukan aktiviti mendaki.
Menurut beliau, mangsa yang menginap di resort berkenaan sejak 2 Jun lalu dipercayai menggunakan laluan jalan lama dari Kampung Tekek menuju ke Kampung Juara sebelum dilaporkan sesat.
“Susulan laporan diterima, satu operasi pencarian segera digerakkan yang diketuai Ketua Polis Balai Tioman dengan bantuan anggota polis serta pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pulau Tioman.
“Mangsa berjaya ditemui pada kira-kira pukul 8.33 malam di kawasan hutan Bukit Parang, Kampung Tekek, kira-kira 1.2 kilometer dari laluan utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha pencarian dipermudahkan apabila mangsa berkongsi lokasi semasa melalui telefon bimbitnya, sekali gus membolehkan pasukan penyelamat mengesan kedudukannya dengan tepat.
Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan sedar sepenuhnya, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dibawa keluar dari kawasan hutan untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa menjalankan aktiviti pendakian secara bersendirian menggunakan laluan lama yang mempunyai banyak persimpangan dan cabang jalan serta tidak lagi digunakan sebagai laluan utama penduduk setempat.
“Punca mangsa tersesat dipercayai kerana tersalah memilih salah satu cabang laluan sehingga gagal keluar dari kawasan hutan berbukit tersebut,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota Polis Balai Tioman dan pasukan PERHILITAN Pulau Tioman yang bertindak pantas sehingga mangsa berjaya ditemukan dalam tempoh singkat.
Orang ramai khususnya pelancong yang ingin menjalankan aktiviti rekreasi atau pendakian di kawasan hutan dinasihatkan supaya membuat persediaan secukupnya, memaklumkan perjalanan kepada pihak berkaitan serta mengelakkan aktiviti secara bersendirian bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette.














