KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi medan untuk rakyat menolak politik kebencian, prasangka serta perpecahan kaum dan agama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat mahukan pemimpin yang berbicara mengenai soal pekerjaan, rumah mampu milik, pendidikan berkualiti dan kehidupan lebih terjamin.
Rakyat jelas beliau, tidak mahu politik yang tandus idea dengan sentimen kaum dan agama dijadikan sebagai modal kempen pada setiap hari.
Tambah Anwar, apa yang dilihat ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor malam tadi memberi keyakinan besar bahawa orang Melayu, Cina dan India berhimpun dengan satu harapan yang sama.
“Mereka tidak disatukan oleh kebencian atau prasangka, sebaliknya dipertemukan dengan cita-cita yang sama untuk membina negeri dan negara yang lebih adil, maju dan bermaruah.
“Dalam beberapa minggu lagi, rakyat Johor akan membuat pilihan. Gunakanlah kuasa itu dengan bijaksana.
“Tolak politik yang memecah-belahkan rakyat. Pilih politik yang menyatukan, membela dan membawa harapan. Pilih masa depan Johor yang lebih adil, maju dan bermaruah. Pilih Pakatan Harapan,” kata Anwar.
Sementara itu Anwar berkata, Johor adalah sebuah negeri yang kaya dengan potensi dan peluang.
Melalui usaha berterusan Kerajaan MADANI pelaburan mengalir masuk dan projek strategik berkembang pesat.
Namun ekonomi Johor masih mempunyai ruang yang besar untuk melonjak lebih jauh.
“Benar, dalam tempoh tiga tahun setengah ini, tidak semua masalah dapat diselesaikan. Namun satu perkara yang tidak akan kita kompromi ialah integriti.
“Negara ini terlalu kaya untuk rakyatnya terus terbeban akibat ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin yang tamak haloba dan hanya mahu memperkaya diri dan keluarga,” kata Anwar.-MalaysiaGazette
















