JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO menerima sambutan luar biasa daripada golongan muda dan bekas pemimpin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden UMNO itu berkata, kira-kira 82 peratus daripada permohonan menyertai Rumah Bangsa yang diterima adalah daripada golongan muda.
“Penyertaan golongan muda itu diharap dapat membantu kempen BN serta menarik sokongan pengundi berusia 18 tahun dan pengundi muda lain pada PRN Johor.
“Rumah Bangsa menerima sambutan yang sangat luar biasa. Bukan sahaja daripada pemimpin-pemimpin lama UMNO yang pernah bertukar arah dan kini kembali, malah majoriti permohonan yang diterima adalah daripada anak muda.
“Kita harap mereka akan turun bersama-sama berkempen untuk memenangkan calon-calon BN di Johor,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Stadium Tertutup Kompleks Educity di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran; Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Terdahulu ketika berucap, Ahmad Zahid berkata, rakyat Johor perlu memilih antara kestabilan yang dibawa BN atau ketidaktentuan yang ditawarkan pihak lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, rekod pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuktikan BN mampu menyediakan peluang pekerjaan, perumahan dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.
“Bangsa Johor boleh belajar di Johor, bekerja di Johor, memiliki rumah di Johor dan membina keluarga di Johor. Itu hasil usaha yang sedang dilakukan kerajaan negeri hari ini.
“Johor mesti menjadi negeri contoh yang bukan sahaja menarik pelaburan, tetapi memastikan manfaat pembangunan dirasai seluruh rakyat,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan seluruh jentera parti supaya tidak leka dengan serangan fitnah yang disebarkan menerusi media sosial menjelang PRN.
Menurutnya, fitnah politik masa kini hadir dalam bentuk video pendek, poster palsu dan akaun tanpa nama yang bertujuan merosakkan keyakinan rakyat terhadap BN.
“Jawab fitnah dengan fakta, jawab dengan rekod kerja dan tawan hati rakyat di semua platform media sosial. Ini medan perang baharu yang mesti kita kuasai,” katanya. – MalaysiaGazette
















