KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan individu berjubah selepas videonya memanjat pagar dan mencuri pakaian jemuran di sebuah rumah di Taman Cheras Indah di sini, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata siasatan masih dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.
“Buat masa ini belum ada tangkapan dan siasatan lanjut giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan polis mengesan video tular kejadian itu pukul 5 petang kelmarin.
Menurut Khairul Anuar, susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 31 tahun pada hari sama selepas menyedari pakaian yang dijemur di luar rumahnya hilang.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang individu memakai jubah berwarna gelap memanjat pagar sebelum memasuki halaman rumah dan mengambil pakaian jemuran milik pengadu,” katanya. – MalaysiaGazette















