Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan selama tiga tahun lapan bulan dilihat membuktikan beliau berjaya mengurus hubungan antara parti-parti komponen yang membentuk kerajaan campuran pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Norhudi’in Danu berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk memastikan keharmonian dalam kalangan parti-parti yang suatu ketika dahulu merupakan lawan politik, khususnya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, Perdana Menteri kesepulun itu berjaya memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan politik negara dengan mengambil kira kepentingan semua parti yang berada dalam Kerajaan MADANI.

Katanya, demi menjaga kestabilan politik ke arah kemakmuran ekonomi, Anwar melakukan segala dalam kemampuan beliau untuk menjaga hati setiap parti komponen Kerajaan Madani sehingga kekal sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini.

“Sejarah membuktikan bahawa negara pernah mempunyai tiga perdana menteri dalam masa satu penggal sahaja akibat tertubuhnya kerajaan campuran.

“Jika dilihat daripada perspektif ini, Anwar adalah satu-satunya pemimpin yang mampu kekal berkuasa tanpa ancaman dan ugutan sejak menang Pilihan Raya Umum (PRU) 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr. Mazlan Che Soh yang sebelum ini menyifatkan ketahanan politik Anwar sebagai manifestasi kematangan institusi politik Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr. Norhudi’in berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang inklusif menerusi kerangka Malaysia MADANI turut membantu memperbaiki persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Menurutnya, perkembangan itu menyumbang kepada prestasi ekonomi yang lebih memberangsangkan termasuk pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026, selain disokong pengukuhan nilai ringgit dan peningkatan pelaburan asing.

“Ketidakstabilan geopolitik dunia telah memberi kesan buruk kepada kebanyakan negara sekitar, namun di Malaysia, pergerakkan ekonomi semasa masih dalam keadaan stabil dan terkawal.

“Perkara ini sekali gus membantu seluruh rakyat supaya lebih bertenang namun perlu sentiasa dalam mod berhati-hati dalam urusan pengurusan kewangan keluarga,” katanya.

Dr. Norhudi'in Danu
Dr. Norhudi’in Danu

Justeru, beliau berkata, seluruh rakyat perlu terus memainkan peranan dalam mengekalkan kestabilan ekonomi, keharmonian masyarakat serta kemakmuran negara tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Katanya, rakyat juga perlu menjauhi sikap ekstrem kerana kesejahteraan yang dinikmati hari ini perlu dipelihara demi memastikan kemakmuran negara terus berkekalan.

“Adalah sangat penting bagi seluruh rakyat untuk terus dan turut sama dalam usaha menjaga kestabilan ekonomi, keharmonian sejagat dan kemakmuran dalam beragama,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Level ini ja pandangan cerdik pandai? Tak kaji kenapa dulu masa pemimpin lain, kacau bilau pecah belah? Dan skang ni tak berlaku?
    Sbb org yg suka buat kacau bilau tu dah dpt apa dia nak. Yg jd pembangkang skang pula bukan spesis mcm pembangkang dulu, iaitu mereka kini yg jd kerajaan sekarang. Hasut orang itu lompat sana lompat sini, ajak rakyat berhimpun tekan kerajaan wlpun petrol naik 20 sen. Atau tabur fitnah negara tergadai bakal bankrup.
    Tak ada kena mengena kestabilan sekarang dengan konon kehebatan beliau itu pun. Cuma petualang dah takda. Tunggu pulak lepas PRU16. Tgk petualang buat balik kalau dah terlepas kuasa.

Comments are closed.