Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diingatkan agar jangan musnahkan hubungan (burn the bridge) dalam politik sebaliknya perlu meluaskan lingkaran rakan-rakan di samping mengurangkan musuh.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana semua pihak terlibat dalam politik tidak pasti apa yang akan terjadi pada masa depan.

Menteri Kesihatan itu juga berharap elemen ekstrem, tidak fleksibel dan terlalu jumud perlu dielakkan oleh setiap pemimpin selain tidak menyemai perasan benci terlalu mendalam terhadap mana-mana pihak.

“Dalam politik ini, kita perlu mengizinkan sebarang kemungkinan dan apa pun, jangan tutup dan bakar jambatan.

“Perluaskan lingkaran rakan-rakan, kurang lingkaran musuh. Jangan terlalu sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada kerana kita tidak tahu apa takdir yang mendatang.

“Jadi, jangan terlalu ektrem dan tidak fleksibel, jangan terlalu jumud, ke depan nanti kita tidak tahu apa ketentuan Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Meja Pelaporan Media Selamat dan Sesi Latihan Interaktif: Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dr Zulkefly diminta mengulas kenyataan Onn Hafiz semalam ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor yang menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam PRN akan datang.

Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri ini tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.

Sementara itu, Fahmi yang Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan berpendapat, pemimpin politik perlu sentiasa berhati-hati ketika bercakap.

“Pandangan saya macam inilah, terlajak kata buruk padahnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Fahmi Fadzil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast