Hannah Yeoh cadang mansuh OSC Khas.

KUALA LUMPUR – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya mempertimbangkan pemansuhan Jawatankuasa OSC Khas (One Stop Centre Khas).

Jelasnya, langkah tersebut mampu mengurangkan lapisan birokrasi yang tidak perlu, mempercepatkan proses membuat keputusan serta memastikan akauntabiliti yang lebih jelas dalam sistem penyampaian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Selaras dengan komitmen tersebut, saya telah mengambil keputusan untuk tidak lagi memanggil OSC Khas bersidang sepanjang tempoh saya memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Hannah, berdasarkan Laporan Project Capital menyatakan OSC Khas berpotensi menjadi saluran campur tangan dalam proses membuat keputusan pembangunan.

Justeru, katanya, terdapat keperluan untuk kembali kepada prinsip yang jelas iaitu ikut Pelan Tempatan, ikut undang-undang dan ikut proses yang telus.

“Kerajaan Madani tidak boleh mempertahankan mana-mana struktur yang membuka ruang kepada campur tangan atau persepsi bahawa sesuatu keputusan boleh dipengaruhi oleh faktor selain undang-undang dan dasar perancangan yang sah,” katanya lagi.

Hannah berkata, satu garis panduan yang jelas telah diwujudkan bagi Ahli-ahli Parlimen menyalurkan aduan dan cadangan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Bagi meningkatkan ketelusan, DBKL turut memperkenalkan Portal OSC yang membolehkan pihak berkepentingan dan orang awam melihat maklumat berkaitan permohonan pembangunan yang sedang diproses,” katanya lagi.

Ujarnya, pada masa yang sama, DBKL telah memperkemaskan SOP dalaman supaya setiap permohonan dinilai berdasarkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.

“Sekiranya semua pelan dan dokumen yang dikemukakan mematuhi syarat serta keperluan yang ditetapkan, DBKL boleh membuat keputusan dalam tempoh seawal 21 hari.

“Bagi cadangan yang memerlukan pertimbangan lanjut, proses rundingan dengan pihak berkuasa, jabatan, pertubuhan dan pihak-pihak berkepentingan akan dilaksanakan mengikut Kaedah 3, Kaedah-Kaedah (Perancangan) Wilayah Persekutuan (Permohonan untuk Kebenaran Merancang) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2025,” katanya.

Beliau turut menegaskan terdapat pengasingan kuasa yang jelas dalam sistem pentadbiran Kuala Lumpur.

“Setiap keputusan pembangunan perlu dibuat oleh pegawai-pegawai yang berpengalaman berdasarkan penilaian terhadap dokumen-dokumen teknikal, ulasan jabatan-jabatan berkaitan serta Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang telah diluluskan.

“Keputusan perancangan bandar mesti dibuat berasaskan fakta, dasar dan undang-undang, bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” kata Hannah.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast