Hasbi menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026 di sebuah hotel di Bukit Jambul, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan memberi penekanan berterusan terhadap pembangunan pengangkutan rel sebagai sebahagian usaha memperkukuh agenda Road to Rail dalam sistem pengangkutan negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pengangkutan rel dapat diperluaskan dalam sektor penumpang dan kargo selaras dengan dasar serta perancangan jangka panjang negara.

Beliau berkata, usaha tersebut selari dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030 serta aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan sistem pengangkutan cekap, bersepadu dan mampan.

Menurutnya, sektor rel berperanan besar dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, memperkukuh logistik, meningkatkan mobiliti bandar dan menghubungkan komuniti.

“Objektif kami jelas iaitu meningkatkan penggunaan pengangkutan rel bagi sektor penumpang dan kargo.

“Peralihan ini akan membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, meningkatkan kecekapan logistik, mempertingkat keselamatan jalan raya, mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong daya saing ekonomi jangka panjang Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026 di sebuah hotel Bukit Jambul di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Tambah beliau, beberapa projek rel strategik sedang dilaksanakan di seluruh negara bagi memperkukuh agenda berkenaan.

Antaranya Projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara yang dijangka meningkatkan mobiliti bandar serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

“Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memperkukuh ketersambungan antara pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia, selain membuka peluang dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

“Projek RTS Link Johor Bahru–Singapura pula akan meningkatkan mobiliti rentas sempadan serta hubungan pengangkutan antara kedua-dua negara.

“Semua projek berkenaan membuktikan infrastruktur rel bukan sekadar kemudahan pengangkutan, tetapi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan wilayah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast