KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyokong penuh terhadap siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ketidakpatuhan melibatkan tuntutan di bawah Program Daya Kerjaya 2.0.
Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tindakan tegas itu mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi kementerian dalam memastikan semua program bantuan kerajaan ditadbir dengan standard integriti dan akauntabiliti tertinggi.
”Kementerian mengulangi komitmen untuk memastikan semua program bantuan kerajaan ditadbir dengan standard integriti, akauntabiliti dan tadbir urus baik yang tertinggi.
”Sebarang penyalahgunaan insentif kerajaan yang bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia adalah perkara serius yang menjejaskan kepercayaan orang awam
“KESUMA turut menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau entiti yang didapati menyalahgunakan dana awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, penyelewengan tersebut sebenarnya mula dikesan menerusi mekanisme pemantauan dalaman dan anti-fraud Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada lewat tahun 2024.
“Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) kemudiannya menjalankan risikan dan siasatan menyeluruh sepanjang tahun 2025 bagi mengenal pasti modus operandi salah laku berkenaan sebelum menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa.
”Atas arahan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, kes ini telah dirujuk dan diserahkan secara rasmi kepada SPRM Perak pada Ogos 2025.
”Apabila skala kes ini berkembang, ia kemudiannya diangkat ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
“Sepanjang proses ini, Perkeso telah memberikan kerjasama penuh dan menyerahkan semua dokumen serta bukti yang diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan turut kesal kerana Program Daya Kerjaya 2.0 yang sepatutnya bertujuan murni untuk membantu kumpulan rentan kembali bekerja telah disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
”Program ini diperkenalkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong kelangsungan hidup rakyat Malaysia termasuk orang kelainan upaya (OKU), bekas banduan, dan warga emas.
”Perbuatan rasuah dan tuntutan palsu ini secara langsung telah menafikan hak penerima yang sepatutnya layak mendapat sokongan tersebut,” katanya lagi.
Ramanan berkata, KESUMA melalui Perkeso akan terus memperkukuh kerangka tadbir urus dan mempertingkat proses pengesahan bagi mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan selain terus bekerjasama rapat dengan SPRM demi melindungi dana awam.
Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya telah mengesan wujudnya penyelewengan membabitkan inisiatif kerajaan iaitu program Daya Kerjaya 2.0 yang dilaksanakan sebelum ini dengan nilai tuntutan palsu berjumlah RM9.01 juta.
Beliau berkata, ia dilakukan melalui siasatan pihaknya dan berjaya mengenal pasti sebanyak 143 syarikat membabitkan 320 pekerja di seluruh negara terbabit dalam penyelewengan dana kerajaan yang dikendalikan oleh Perkeso bermula 2024. – MalaysiaGazette
















