PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan pengagihan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, hasil rundingan yang diselesaikan di peringkat mesyuarat sekretariat gabungan itu.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, keputusan berkenaan masih tertakluk kepada pengesahan rasmi Majlis Presiden PH sebelum dianggap benar-benar muktamad.
Menurut beliau, mesyuarat sekretariat yang dipengerusikannya telah berjaya menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh parti-parti komponen dalam gabungan tersebut.
“Mesyuarat itu telah memuktamadkan pengagihan 56 kerusi yang akan ditandingi oleh parti-parti komponen PH.
“Namun, sebagai prosedur, keputusan ini perlu dibentangkan kepada Majlis Presiden kerana saya hanya mempengerusikan sekretariat yang menyelia rundingan kerusi,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Saifuddin berkata, proses rundingan berjalan lancar dengan hanya melibatkan sejumlah kecil pertindihan tuntutan kerusi, sama seperti yang berlaku dalam rundingan terdahulu di Negeri Sembilan.
Katanya, semua pertindihan tersebut berjaya diselesaikan menerusi perbincangan antara parti-parti komponen.
Beliau menjelaskan, langkah seterusnya adalah membentangkan hasil rundingan berkenaan kepada Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan kelulusan rasmi.
“Langkah seterusnya ialah mendapatkan pengesahan rasmi daripada Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh perdana menteri.
“Saya akan membentangkan hasil rundingan tersebut, dan hanya selepas itu statusnya dianggap muktamad,” katanya. – MalaysiaGazette
















