PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dalam sistem demokrasi, orang Melayu mempunyai pelbagai kelebihan namun sebarang keputusan yang menafikan hak pemerintah serta kaum-kaum lain bersama-sama dalam pentadbiran tidak boleh diterima.
Beliau turut menyeru agar isu-isu yang timbul akibat ketegangan politik diperjelaskan bagi mengelakkan perpecahan terus membarah dalam masyarakat.
Menurut beliau, setiap individu sememangnya mempunyai sentimen dan pendirian peribadi yang boleh mempengaruhi pandangan dalam keadaan tertentu namun perkara itu tidak boleh menjadi alasan untuk bersikap tidak berperikemanusiaan terhadap golongan lain.
“Kita boleh menjadi Melayu, Cina atau India tetapi kita tidak boleh mempunyai sikap yang melihat manusia hanya berdasarkan sosok dan warna,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching.
Anwar berkata, Islam meletakkan prinsip menghormati perbezaan sebagai asas penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau menjelaskan bahawa al-Quran menyatakan manusia dijadikan dalam pelbagai kaum dan bangsa supaya saling mengenali serta menghormati perbezaan yang wujud.
Menurutnya, konsep yang digariskan Islam bukan sekadar toleransi, sebaliknya lebih tinggi daripada itu menerusi konsep lita’arafu, iaitu saling mengenali, memahami dan menghargai budaya, bahasa, sikap serta pencapaian antara kaum.
“Lita’arafu bermaksud kita mengetahui dan menghormati bukan sekadar toleransi. Kita memahami budaya, bahasa, sikap sesuatu kaum dan juga kejayaan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, perbezaan sebenar antara manusia bukan terletak pada kaum, bahasa, warna kulit, keturunan, kekayaan, pangkat atau darjat.
Sebaliknya, katanya, ukuran yang membezakan seseorang di sisi Allah ialah kemuliaan akhlak, kebaikan dan ketakwaan.
“Yang membezakan ialah darjat kemuliaan, kebaikan dan ketakwaan insan. Itu yang membezakan. Bukan keturunan, kekayaan, pangkat, darjat, suku, kaum atau warna kulit,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















