Muhammad Faris Arriffin.

JOHOR BAHRU – Strategi politik yang bergantung kepada peratusan keluar mengundi (turnout) yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mencapai kemenangan tidak menunjukkan kekuatan.

Ia sebaliknya hanya ketakutan berdepan mandat sebenar rakyat, demikian menurut Naib Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faris Arriffin.

Katanya, wujud perbezaan amat ketara dalam sistem demokrasi antara kemenangan yang sah di sisi undang-undang dengan kemenangan yang benar-benar mendapat mandat mutlak daripada rakyat.

“PRN Johor pada tahun 2022 menjadi satu kes kajian yang sangat penting untuk memperlihatkan bagaimana sebuah kemenangan luar biasa boleh dicapai apabila peratusan keluar mengundi mengecil.

“Keputusan mencatatkan peratusan keluar mengundi amat rendah iaitu hanya 54.92 peratus yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau bersamaan 71.4 peratus kerusi,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, senario itu berubah sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apabila suasana pilihan raya bertukar menjadi gelombang nasional yang mendorong lebih ramai turun mengundi.

“Dominasi BN merosot kepada hanya sembilan daripada 26 kerusi Parlimen di Johor atau sekadar 34.6 peratus kerusi, manakala data undi popular parti itu hampir tidak berubah dengan mencatatkan 599,753 undi pada PRN dan 598,244 undi pada PRU15.

“Sebaliknya, undi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan parti Muda melonjak drastik daripada 367,525 undi semasa PRN kepada 825,182 undi dalam PRU-15 di Johor,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Faris berkata, lonjakan angka tersebut jelas membuktikan kemenangan besar BN pada PRN Johor sebelum ini bukan didorong gelombang sokongan baharu sebaliknya ia memanfaatkan struktur pertandingan menghasilkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

“Terkini, tindakan membubarkan DUN lebih awal dan memisahkan pilihan raya negeri daripada pilihan raya umum memberi kesan yang tidak neutral kerana ia menyukarkan pengundi luar untuk pulang.

“Selain itu, ia juga mengurangkan dorongan kepada pengundi muda, pengundi bandar, serta diaspora politik ekoran kos logistik yang tinggi.

“Akhirnya, parti yang memiliki jentera tradisional, pengundi teras tempatan dan rangkaian logistik yang lama akan mendapat kelebihan yang cukup besar untuk menguasai keputusan pilihan raya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faris yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Harapan Wilayah Persekutuan berkata, BN membentuk kerajaan negeri dengan 40 kerusi meskipun hanya meraih undi popular sekitar 43.11 peratus daripada jumlah undi sah, yang mana angka itu sebenarnya hanyalah kira-kira 23.6 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di Johor.

“Itulah ‘politik turnout rendah’ yang mana bukan sekadar satu strategi kempen, tetapi merupakan satu bentuk kejuruteraan keadaan politik bagi memastikan padang permainan tidak lagi sama rata untuk semua pihak yang bertanding.

Katanya, sebuah kerajaan yang benar-benar yakin dengan mandat rakyat tidak akan sesekali berasa takut kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi, kehadiran anak muda mahupun kepulangan pengundi luar, universiti, Lembah Klang atau Singapura.

“Kemenangan yang bermaruah bukan sekadar memenangi jumlah undi, tetapi menang tanpa merendahkan nilai demokrasi kerana cara sesebuah parti itu menang akan menentukan cara mereka memerintah kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast