PENAGA – Seorang ibu tidak menyangka nalurinya mengenai kemungkinan kehilangan anaknya menjadi kenyataan apabila Iskandar Affan Ibrahim, 7, maut dalam kemalangan yang turut meragut nyawa lima ahli keluarganya di Pinang Tunggal, Sungai Petani, semalam.
Ibu mangsa, Atikah Ahmad Syukri berkata, perasaan itu semakin kuat menjelang hari kejadian walaupun dia sendiri tidak dapat menjelaskan puncanya.
“Saya rasa seperti akan kehilangan sesuatu. Dalam hati saya rasa akan kehilangan anak tetapi saya tidak sangka ia berlaku dengan cara seperti ini.
“Sebagai ibu, saya cuma ada perasaan bahawa sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah saya akan kehilangannya,” katanya.
Menurut Atikah, dia turut menyedari perubahan pada tingkah laku anak bongsunya itu sebelum tragedi berkenaan.
“Saya perasan ada perubahan pada dirinya. Seolah-olah dia sedang bersiap untuk pergi ke suatu tempat. Iskandar juga seorang anak yang manja selain sangat meminati kenderaan sehingga mudah teruja setiap kali melihat kereta,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Nor Zamilah Ghazali berkata, Iskandar kelihatan lebih ceria daripada kebiasaan sebelum keluar dari rumah pada hari kejadian.
Katanya, anak sulungnya yang menyuapkan makanan kepada Iskandar turut menyedari kanak-kanak itu makan lebih banyak daripada biasa.
“Anak saya beritahu, ‘Mak, adik makan banyak hari ini’. Biasanya dia makan sedikit kerana lebih suka menonton televisyen atau bermain, tetapi hari itu dia menghabiskan makanannya,” katanya.
Tambah Nor Zamilah, keluarganya pada mulanya hanya dimaklumkan mengenai kematian nenek Iskandar sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila sampai di sana, kami sudah dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Kami bertanya kepada anggota bomba dan dimaklumkan hanya Aulia yang terselamat manakala yang lain meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Keluarga kami sangat rapat. Jika ada yang kekurangan, adik-beradik lain akan membantu. Begitulah didikan arwah bapa kami sejak dahulu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Media semalam melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang semalam, enam sekeluarga maut selepas SUV yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani.
Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga ketika kejadian berlaku. Lori terbabit pula dilaporkan sedang menghala ke Tikam Batu.
Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan kritikal. – MalaysiaGazette
















