Neow Choo Seong.

KUALA LUMPUR – Tuduhan ahli DAP, Tajuddin Rasdi yang melabel Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai “perkauman” kerana menolak kerjasama politik dengan DAP disifatkan sebagai tidak adil, mengelirukan dan tidak berasaskan hujah yang matang.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong berkata, penolakan terhadap kerjasama dengan DAP tidak boleh disamakan dengan penolakan terhadap mana-mana kaum kerana DAP merupakan sebuah parti politik dan bukannya wakil mutlak kepada masyarakat tertentu.

“Sejak bila DAP menjadi wakil tunggal masyarakat Cina? Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengan DAP secara automatik dianggap menolak kaum Cina?

“Pemikiran seperti ini bukan sahaja dangkal, malah berbahaya kerana cuba menyempitkan perbezaan politik kepada sentimen perkauman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Tajuddin yang membandingkan pendirian Onn Hafiz dengan Rundingan Damai Baling, sambil menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Katanya, Rundingan Damai Baling bertujuan menamatkan ancaman keselamatan negara serta konflik bersenjata yang mengorbankan nyawa rakyat, bukannya rundingan untuk membentuk kerajaan atau menjalin kerjasama politik dalam sistem demokrasi.

“Janganlah cuba mengubah sejarah semata-mata untuk menyesuaikannya dengan naratif politik parti sendiri,” ujar beliau.

Neow berkata, dalam sistem demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk memilih rakan politik berdasarkan prinsip, ideologi dan mandat yang diberikan oleh rakyat, dan hak tersebut bukan eksklusif kepada DAP semata-mata.

Beliau mendakwa, sejarah politik DAP menunjukkan pihak yang sehaluan dengan parti itu sering dipuji, manakala mereka yang memilih pendirian berbeza akan berdepan pelbagai label dan serangan politik.

“Apabila Onn Hafiz menyatakan pendirian politiknya secara terbuka, beliau pula dituduh sebagai perkauman. Rakyat semakin bijak menilai dan mampu melihat corak politik seperti ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Neow menyifatkan Onn Hafiz sebagai antara pemimpin pelapis yang progresif, sederhana dan bertanggungjawab serta berhak menentukan pendirian politik yang diyakini terbaik untuk Johor.

Menurutnya, pendekatan Onn Hafiz juga selari dengan semangat Bangsa Johor yang menekankan perpaduan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Beliau turut menggesa Tajuddin yang merupakan ahli DAP sejak 2012, supaya melakukan muhasabah terhadap parti sendiri, termasuk dalam aspek pemilihan kepimpinan dan beberapa isu yang pernah membabitkan ahli serta pemimpin parti.

“Perbezaan pandangan politik adalah lumrah dalam demokrasi. Namun budaya melabel pihak yang tidak sehaluan sebagai perkauman tanpa asas yang kukuh hanya akan merosakkan wacana politik negara dan memburukkan lagi polarisasi masyarakat,” katanya lagi.

Neow menegaskan, Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang mampu merapatkan jurang, membina persefahaman dan menyatukan rakyat demi masa depan negara yang lebih stabil, makmur dan harmoni. — MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast