KUALA LUMPUR – Seramai 704 murid daripada Tadika Permata MAIWP dan MAIWP Kids Zon Setapak menyertai Karnival Sukan Tadika Permata MAIWP dan MAIWP Kids 2026 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Program tahunan itu melibatkan penyertaan murid dari 14 tadika sekitar Zon Setapak dan dirasmikan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Beliau berkata, karnival tersebut bukan sekadar platform pertandingan sukan malah berperanan membentuk keyakinan diri, keberanian serta semangat berpasukan dalam kalangan murid sejak usia awal.
Menurutnya, pendedahan kepada aktiviti kokurikulum turut membantu melahirkan generasi yang lebih cergas, kreatif dan berdaya saing selain memperkukuh pembentukan sahsiah.

“Karnival sukan ini merupakan antara usaha MAIWP dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati setiap murid serta menjadi asas kepada kecemerlangan mereka pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Beliau berkata, MAIWP kini mempunyai 77 tadika di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang menempatkan 4,337 murid dengan sokongan 355 guru.
Pada masa sama, katanya, MAIWP turut memperkenalkan MAIWP Kids sebagai alternatif pendidikan prasekolah premium yang bermula di Taman Tun Dr Ismail pada Mac 2022 dan kini berkembang kepada tujuh cawangan.

Karnival yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini menampilkan 10 acara sukaneka melibatkan murid berusia lima dan enam tahun bagi menguji kemahiran, koordinasi serta semangat kesukanan mereka.
Sehingga 8 Jun lalu, MAIWP telah mengagihkan RM515.36 juta dana zakat menerusi 38 skim bantuan serta pelbagai program pembangunan asnaf termasuk institusi pendidikan di bawah agensi itu. – MalaysiaGazette
















