Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini tidak lagi mempunyai kekuatan politik seperti sebelum ini susulan kemelut yang melanda parti berkenaan.

Beliau berkata, perkembangan semasa menunjukkan Bersatu berkemungkinan terpaksa bergerak bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) johor dan Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16) akan datang.

Menurutnya, parti yang pernah disertai beliau itu juga tidak lagi dilihat sebagai aset penting dalam landskap politik negara seperti suatu ketika dahulu.

“Nampaknya Bersatu kena kayuh sendiri dlm PRN (Johor dan Negeri Sembilan) dan PRU-16 akan datang. Bersatu bukan lagi aset yang hebat kpd politik negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Kenyataan itu dibuat ketika masa depan hubungan politik antara Pas dan Bersatu terus menjadi perhatian selepas Pas memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik dengan parti berkenaan.

Rahim yang juga bekas Pengerusi Bersatu Melaka turut menggesa ahli-ahli parti itu di seluruh negara supaya membuat keputusan meninggalkan parti itu dan menyertai platform politik lain yang menurutnya lebih selari dengan perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Saya menyeru kepada ahlI-ahli Bersatu di seluruh negara agar berhijragh segera ke Team Reset atau Pas demi demi perjuangan kegemilangan Malaysia dalam mempertahan dan memperkasakan agama, bangsa dan negara tercinta,” katanya.

Seruan tersebut dilihat menambah tekanan terhadap Bersatu yang sedang berdepan pergolakan dalaman selain kehilangan beberapa tokoh utama parti sejak kebelakangan ini.

Dalam masa sama, perkembangan itu dijangka memberi kesan kepada persiapan blok pembangkang menjelang PRN dan PRU akan datang, khususnya jika lebih ramai ahli serta pemimpin akar umbi memilih untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai wadah politik lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast