Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto SADIQ SANI, 16 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Setiap ujian dan cabaran yang dihadapi dalam perjuangan politik perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh kekuatan serta mempereratkan perpaduan dalam kalangan anggota parti, jelas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, setiap dugaan yang dilalui membawa hikmah tersendiri dalam mematangkan perjuangan demi rakyat.

Menurut beliau, semangat perjuangan dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan sesekali goyah walaupun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan politik.

“Setiap ujian membawa hikmah, setiap badai membina kekuatan!

“Perjuangan demi rakyat dalam Perikatan Nasional tidak akan sesekali goyah,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Mohamed Azmin turut menegaskan perjuangan yang dibawa PN berlandaskan komitmen untuk membela nasib rakyat dan mempertahankan kepentingan negara.

Kenyataan itu menyusul selepas Pas membuat kejutan apabila mengumumkan keputusan menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas berkenaan yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulan lanjut, Mohamad Azmin turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PN agar terus memperkukuh kesatuan serta mempereratkan kerjasama dalam menghadapi landskap politik semasa.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Presiden Bersatu merangkap bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, seluruh anggota gabungan itu perlu terus memperkemaskan barisan dan memperkukuhkan tekad perjuangan.

“Di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, kita rapatkan saf, bulatkan tekad, dan terus istiqamah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast