Barisan penerima anugerah yang hadir bergambar selepas selesai Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2026 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. MUHAIMIN MARWAN, 9 JUN 2026

KUALA LUMPUR – Pembinaan kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 berjalan mengikut jadual apabila kapal kedua program berkenaan telah dilancarkan Ahad lalu dan dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada penghujung tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan itu membuktikan kemajuan projek berkenaan berada pada landasan yang ditetapkan sejak kontraknya dimeterai pada tahun 2024.

“Kita sangat bersyukur kerana semenjak ditandatangani dalam tahun 2024, kemajuan pembinaan kapal-kapal itu mengikut jadual.

“Pada hari Ahad yang lepas kapal kedua LMS kita telah pun dilancarkan dan diberikan nama,” katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM 2026 di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak hari ini.

Menurut beliau, kapal pertama LMS Batch 2 dijangka diserahkan kepada TLDM pada Oktober 2027 diikuti kapal kedua pada November dan kapal ketiga pada Disember tahun yang sama.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memaklumkan Kementerian Pertahanan menerima permohonan daripada syarikat pertahanan Norway untuk mengadakan perbincangan berhubung tuntutan yang difailkan kerajaan Malaysia terhadap syarikat tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, proses tuntutan berkenaan masih diteruskan dan tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

“Kita memang ada terima permintaan daripada syarikat untuk berbincang. Apa pun tuntutan kita masih jalan. Kita belum jumpa dan kita tak tahu apa yang dia nak bincang,” ujarnya.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan menuntut pampasan melebihi RM1 bilion daripada syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace AS susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang diperoleh Malaysia bagi program Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Menurut beliau, Malaysia telah membayar kira-kira 95 peratus daripada nilai kontrak bernilai €126 juta (sekitar RM583 juta), manakala, tuntutan keseluruhan turut mengambil kira kos tidak langsung termasuk pengubahsuaian serta integrasi sistem persenjataan alternatif untuk kapal berkenaan.

Pada Mei lalu, kerajaan Norway menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi pertahanan tertentu susulan pelaksanaan kawalan eksport yang lebih ketat, sekali gus menjejaskan pembekalan sistem NSM untuk kapal LCS Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast