Mohamad Shoki.

GEORGE TOWN – Kebakaran yang memusnahkan sebuah pusat hiburan di bangunan bekas pawagam Odeon di Jalan Penang di sini, pada 30 Mei lalu sehingga meragut nyawa seorang lelaki dipercayai berpunca daripada kerja pemotongan besi menggunakan peralatan oksi-asetilena.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, hasil siasatan pasukan forensik bomba mendapati kebakaran itu berlaku secara tidak sengaja ketika kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan di premis berkenaan.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam premis menunjukkan dua daripada tiga pekerja sedang melakukan kerja pemotongan besi menggunakan set pemotong oksi-asetilena sebelum sisa leburan logam panas yang terhasil terjatuh dan menyalakan bahan mudah terbakar di kawasan terbabit.

“Api dipercayai bermula di tingkat bawah berhampiran bahagian belakang premis berdasarkan keterangan seorang saksi yang juga mangsa terselamat dalam kejadian itu.

“Siasatan turut mendapati terdapat kerja-kerja pengubahsuaian sedang dijalankan di dalam premis pada hari kejadian.

“Unit K9 turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mengesahkan tiada sebarang pengesanan bahan pemecut kebakaran (accelerant),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohamad Shoki, hasil siasatan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kebakaran akibat kemalangan dengan sumber nyalaan dikenal pasti daripada obor pemotong oksi-asetilena (oxy-acetylene cutting torch).

“Bagaimanapun, nilai kerugian dan harta benda yang terlibat masih dalam siasatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki maut dalam kebakaran di pusat hiburan Jalan Penang

Media pada 31 Mei lalu melaporkan, punca kematian buruh warga Myanmar yang maut dalam kebakaran di bangunan dua tingkat bekas pawagam Odeon di Jalan Penang di sini, dikenal pasti akibat tersedut asap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, berdasarkan laporan bedah siasat ia tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.

“Polis menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam jam 8.50 malam sebelum pasukan bomba menemukan mayat mangsa berhampiran pintu masuk hadapan premis berkenaan jam 10.23 malam.

“Kematian mangsa berusia 56 tahun yang dikenal pasti sebagai dikenal pasti sebagai Mohamad Boshi Sabi Ullah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast