Saifuddin dalam sidang akhbar selepas Program Citra Negara Menteri Dalam Negeri:Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Pas didakwa menyalahgunakan tema penyatuan umah untuk kepentingan politik apabila menjadikannya alasan untuk menamatkan kerjasama dengan gabungan atau parti yang pernah bersama-samanya.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, konsep penyatuan umah itu dibuat mengikut kesesuaian dan tafsiran mereka.

“Walaupun alasannya sama penyatuan ummah tetapi ia mengikut tafsiran dan sudut pandang mereka. Rukun prinsip politik dalam Islam ini ialah tegakkan keadilan, menyeru makruf, mencegah mungkar, mengajak kepada kebaikan, menyemaikan sifat kasih sayang, perpaduan. Itu prinsip dalam politik Islam.

“Dia tak boleh kata masa berkawan dulu asasnya penyatuan umah, kemudian masa bercerai pun prinsipnya penyatuan umah juga. Tak boleh bebas bagi tafsiran ikut selera kita,” katanya.

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian dalam sidang akhbar Program Citra Negara Menteri Dalam Negeri:Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat di sini hari ini.

Terdahulu, Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan mengejut untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.

Saifuddin berkata, PH menyifatkan keputusan terbaharu kerjasama politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berakhir sebagai satu lagi episod yang mengulangi corak lama dalam politik negara.

Dakwanya, hampir setiap kerjasama politik yang pernah dijalin Pas dengan sebarang parti mahupun gabungan lain sebelum ini berakhir dengan perpisahan.

“Siapa sahaja yang bergabung dengan dia (Pas) berakhir dengan perceraian. Isunya talak satu, talak dua atau talak tiga. Kita tengok dengan semangat Semangat 46 atau pun PH sendiri, kemudian dengan UMNO (Muafakat Nasional 1.0), kemudian dengan Bersatu. menerima nasib yang sama. Lepas ini siapa lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast