KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO disaran mencari satu formula kukuh untuk kembali bertaut demi memelihara masa depan orang Melayu serta memperkukuhkan kedudukan Islam di negara ini.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Penerangan Pas Melaka, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, semua pihak perlu meninggalkan perselisihan lampau dan memberi tumpuan kepada usaha membela nasib bangsa serta mempertahankan syiar Islam secara lebih berkesan.
Menurut beliau, Pas dan UMNO berpotensi menjadi pemangkin kepada penyatuan parti-parti politik Melayu yang lain menerusi konsep ‘Payung Besar’ yang pernah disarankan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Dua parti Melayu yang besar yakni Pas dan UMNO harus mencari satu formula kukuh untuk bertaut semula demi memelihara masa depan Melayu serta Islam di tanahair kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam usaha memperkukuhkan perpaduan Melayu, hak dan kepentingan kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga perlu terus dipelihara bagi menjamin keharmonian serta perpaduan nasional.
Pada masa sama, Khairuddin mendakwa Pas memainkan peranan secara konsisten dalam mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat kedudukan kedua-duanya.
Katanya, tanggungjawab tersebut tidak seharusnya digalas oleh Pas semata-mata, sebaliknya perlu dipikul secara bersama oleh UMNO, parti-parti politik Melayu yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Perbalahan sesama Melayu mesti dihentikan segera sebelum malapetaka besar menimpa keseluruhan anak bangsa kita. Inilah yang dikhuatiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang senantiasa mengingatkan orang-orang Melayu jika terus berpecah lagi sepuluh tahun kita akan hilang kuasa politik serta negara ini buat selamanya,” katanya.
Beliau turut memuji sikap terbuka Pas yang menurutnya tidak pernah berputus asa menghulurkan pelawaan kepada UMNO untuk kembali berganding di bawah satu platform perjuangan Melayu yang lebih kukuh demi kepentingan masa depan bangsa dan agama. – MalaysiaGazette
















