Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – UMNO membidas pihak tertentu mendakwa parti Melayu itu bersikap angkuh kerana tidak bekerjasama dengan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, hasrat untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai satu bentuk keangkuhan.

“Ada pihak yang melabel UMNO sebagai angkuh hanya kerana kita menyatakan hasrat untuk memperkukuhkan parti dan mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

“Saya ingin bertanya, sejak bila cita-cita untuk memenangi semula kepercayaan rakyat dianggap satu keangkuhan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat untuk mentadbir semula kerajaan negeri pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Tengku Azman berkata, UMNO menghormati semangat Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Namun, kerjasama tidak bermaksud UMNO perlu bergantung masa depannya kepada mana-mana parti politik,” tegasnya.

Katanya lagi, sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang dalam landskap politik negara, UMNO mempunyai tanggungjawab untuk terus memperkukuhkan organisasi parti.

“Malah menjadi tanggungjawab kami untuk terus membina keyakinan rakyat dan memperkukuhkan sokongan terhadap parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast