KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) sudah berakhir dan pakatan antara Pas itu tidak akan lagi dihidupkan semula.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MN yang telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh individu tertenu kini hanya tinggal sejarah.
“MN telah didaftarkan sebagai sebuah NGO oleh seseorang. Jadi, kita tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula MN.
“Sama ada 1.0 atau pun 2.0, itu telah dimuktamadkan dan kita telah tutup buku,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama politik antara UMNO dan Pas melalui platform MN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ia semakin kuat diperkatakan susulan Pas mengumumkan keputusan untuk mengakhirkan hubungan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.
Sebelum ini juga, Ahmad Zahid mengesahkan terdapat pertemuan antara pemimpin Pas dan UMNO bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Bagaimanapun, perbincangan itu tidak membabitkan presiden parti.
MN merupakan sebuah pakatan kerjasama politik dan penyatuan ummah yang pada asalnya dimeterai secara rasmi antara UMNO dan Pas pada 14 September 2019.
Pakatan itu bagaimanapun terlerai tidak lama selepas itu apabila Pas membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.
Malah nama MN turut didaftarkan sebagai sebuah NGO. – MalaysiaGazette
















