KUALA LUMPUR – Seramai 22 penjaja tanpa lesen termasuk 13 waga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu (Pasar) di sekitar Pasar Pudu Jalan Yew, semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, operasi yang dijalankan pada jam 6 pagi itu melibatkan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja dan individu warga asing yang menjalankan atau mengendalikan aktiviti perniagaan barangan basah, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit lain tanpa kebenaran serta melangar syarat permit kerja daripada pihak berkuasa.
“Mereka yang ditahan ialah 13 warga asing dan 9 warga tempatan,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan sita dan pindah barang perniagaan turut dilakukan selain notis kompaun ke atas pemilik gerai tanpa kebenaran.
“Kesemua barangan dan peralatan yang disita seperti sayur-sayuran, buah-buahan, barangan am, troli, bakul dan lain-lain peralatan telah dihantar ke Stor Sitaan DBKL untuk rekod dan dokumentasi,” katanya lagi.
Katanya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi kesalahan di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
DBKL berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi yang sama menahan 16 warga asing yang didapati tinggal dalam negara tanpa pas, permit atau dokumen sah.
Ujarnya, mereka yang ditahan terdiri daripada seramai tiga warga Bangladesh; Indonesia (12) dan Myanmar (1).
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















