Warga Rohingya muncul kumpulan warga asing paling ramai dikesan melakukan kesalahan jalan raya dijalankan JPJ Melaka hari ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pelarian itu.

MELAKA – Warga Rohingya muncul kumpulan warga asing paling ramai dikesan melakukan kesalahan jalan raya dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pelarian itu.

Dalam operasi Ops Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) yang dijalankan itu, seramai 22 warga Rohingya ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan penggunaan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, jumlah itu mengatasi warga Pakistan (10), Bangladesh (9), Indonesia (5) dan Vietnam (2) yang turut dikesan dalam operasi sama.

Siti Zarina Mohd Yusop

“Untuk operasi hari ini sahaja, warga Rohingya merupakan kumpulan paling ramai ditahan majoritinya menunggang motosikal atau memandu kenderaan tanpa lesen selain tidak mempunyai perlindungan insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) yang sah.

“Kebanyakan mereka menggunakan motosikal dan kenderaan milik warga tempatan untuk tujuan bekerja serta menjalankan perniagaan,” katanya pada sidang media di JPJ Bukit Katil di sini hari ini.

Menurut beliau, kawasan sekitar Kampung Limbongan, dikenal pasti antara lokasi yang kerap menjadi tumpuan warga Rohingya dan menjadi antara fokus utama penguatkuasaan berdasarkan risikan serta pemantauan pihak JPJ.

Kawasan lain ialah Merlimau dan Melaka Sentral yang dikenal pasti sebagai laluan utama digunakan warga asing.

“Kita tahu laluan yang sering mereka gunakan dan sebab itu penguatkuasaan dipertingkatkan di kawasan terbabit.

“Setakat semalam, JPJ Melaka telah memeriksa 2,322 kenderaan dalam pelbagai operasi penguatkuasaan melibatkan warga asing dengan 774 kenderaan diambil tindakan, 177 disita dan 951 notis dikeluarkan,” katanya.

Berdasarkan statistik keseluruhan dari 1 Januari hingga 9 Jun, warga Indonesia merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 52 kes, diikuti Pakistan (42) dan Bangladesh (38). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast