Muhammad Kamil Abdul Munim.

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyindir pihak yang terus terlibat dalam percaturan politik dan perebutan kuasa ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang melaksanakan tanggungjawab rasmi bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara di peringkat antarabangsa.

Menerusi hantaran di media sosial yang memaparkan gambar lawatan kerja Anwar ke Jepun, Muhammad Kamil berkata, terdapat pihak yang seolah-olah mempunyai terlalu banyak masa untuk terus berpolitik dan memikirkan soal kuasa semata-mata.

Menurut beliau, ketika segelintir pihak sibuk mengatur percaturan politik, terdapat pemimpin dan penjawat amanah rakyat yang memilih untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab serta tugas yang telah diamanahkan.

“Yang mahu mencatur, teruskan mencatur. Mungkin banyak masa terluang, tidak tahu hendak buat apa dan minatnya hanya mahu merebut kuasa sepanjang masa.

“Yang mahu bekerja, bekerjalah bersungguh-sungguh. Kelak nanti setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan dengan amanah yang sedang dipikul,” katanya di laman sosial beliau.

Gambar Anwar bersama Perdana Menteri Jepun yang di kongsikan Ketua AMK, Kamil Munim di laman sosial hari ini.

Walaupun tidak menamakan mana-mana individu atau pihak secara khusus, kenyataan itu dilihat merujuk kepada spekulasi dan pelbagai gerakan politik yang kembali menjadi perhatian sejak kebelakangan ini.

Muhammad Kamil turut menggunakan tanda pagar #MADANIBekerja yang dilihat membawa mesej kerajaan perlu terus memberi fokus kepada agenda pembangunan, pelaburan dan kebajikan rakyat berbanding melayani polemik politik yang berpanjangan.

Hantaran itu dibuat ketika Anwar berada di Jepun bagi menghadiri beberapa siri pertemuan rasmi yang bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta meneroka peluang pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Kenyataan Muhammad Kamil juga dilihat sebagai peringatan setiap pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat perlu mengutamakan tanggungjawab dan amanah yang dipikul, berbanding terlalu memberi perhatian kepada percaturan politik yang boleh mengganggu usaha pembangunan negara.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai spekulasi politik kembali diperkatakan susulan beberapa perkembangan melibatkan parti-parti politik utama negara.

Namun Kerajaan Perpaduan berulang kali menegaskan fokus utamanya kekal kepada usaha memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast