FB Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Dapur Siswa MADANI yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi merupakan satu inisiatif bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup semasa.

“Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar yang berdepan kesukaran kewangan agar mereka dapat memperoleh makanan secara percuma dan tidak perlu menanggung beban sehingga menjejaskan kehidupan serta tumpuan terhadap pengajian,” kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan media sosialnya hari ini.

Fb Zambry Abd Kadir

Beliau sebelum itu berkesempatan bersama mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk merasmikan pelaksanaan Dapur Siswa MADANI di universiti berkenaan.

“Komitmen universiti dalam memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya sangat dihargai.

“Kepada seluruh mahasiswa di luar sana, sekiranya anda berdepan apa jua masalah khususnya berkaitan kewangan sehingga menjejaskan keperluan harian termasuk makanan, jangan pendam atau berasa segan.

“Berhubunglah dengan pihak universiti masing-masing. Banyak saluran bantuan disediakan dan pihak universiti sentiasa bersedia membantu,” katanya.

Zambry seterusnya tidak mahu ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut, berlapar atau mengorbankan keperluan asas semata-mata untuk meneruskan pengajian.

“Fokus utama anda adalah belajar, menimba ilmu dan membina masa depan. Soal kebajikan, kita akan berusaha sedaya upaya untuk membantu,” katanya lagi.

Bagi beliau, tiada mahasiswa yang seharusnya tercicir atau berdepan kesukaran bersendirian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast