KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) akan terus memainkan peranan yang membina dalam memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan politik yang inklusif dan boleh diterima oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, Gerakan dalam masa sama akan terus menegakkan kestabilan politik, kepimpinan berprinsip serta kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
Terdahulu, ujarnya, Gerakan mengambil maklum perkembangan terkini melibatkan Pas yang telah mengumumkan keputusan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jelas beliau, Gerakan menghormati peranan dan sumbangan Pas serta Bersatu dalam PN dan pada peringkat ini, parti itu akan menunggu penjelasan rasmi lanjut daripada pihak-pihak berkaitan sebelum membuat sebarang ulasan.
“Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang semakin hampir, serta landskap politik negara yang terus berkembang menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, inilah masanya untuk semua pihak terus memberikan tumpuan kepada tanggungjawab yang lebih besar di hadapan kita.
“Kesepakatan dalam kalangan parti komponen amat penting bagi menjadikan pasukan kita sebagai pilihan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette
















