Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Perikatan Nasional (PN) susulan berakhirnya hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibincangkan bersama parti komponen khususnya Pas; Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbincangan itu akan dilakukan minggu ini.

Terdahulu, ujarnya, keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan Bersatu bukan bersifat peribadi (personal), sebaliknya demi kebaikan bersama setelah pelbagai usaha dibuat, tetapi keadaan tidak berubah.

Bagaimanapun, ujar beliau, keputusan itu setakat ini hanya melibatkan taawun antara dua parti dan sama sekali tidak melibatkan PN.

“Pas komited kepada politik kerjasama pelbagai kaum serta politik matang dan sejahtera.

“Pas menghargai sikap positif GERAKAN dan MIPP dalam konteks PN. Kedua-dua parti ini ada peranan besar yang boleh mereka mainkan dalam negara,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu, tegas beliau, Pas akan memastikan tindakan seterusnya dalam PN wajib berdasarkan Perlembagaan PN dan bukan atas sikap superiority individu atau mana mana satu parti.

“Musyawarah Pas-Gerakan-MIPP sudah di atur dan disegerakan. Insyaallah,” tulisnya.

Sementara itu, dalam hantara berbeza, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, meskipun hubungan di peringkat parti ditamatkan, namun hubungan antara individu dan ahli Pas-Bersatu masih berjalan seperti biasa, malah terus dihormati.

Tambah beliau, mengambil kira dan memahami masalah dalaman dan transisi yang dihadapi Bersatu, Pas kekal dengan sikap terbuka dan mesra dengan semua ahli parti tersebut.

Jelasnya, Pas juga mengambil perhatian dinamik dalam kalangan ahli Bersatu di mana berkemungkinan berlaku hijrah besar-besaran dari satu pihak ke satu pihak lain.

“Justeru buat masa ini kedudukan individu dalam kerajaan pimpinan Pas tidak terjejas selagi mereka menyokong dan berkerjasama dengan PAS.

“Kestabilan politik kekal diutamakan. Masa perlu diberikan pada mereka untuk membuat pendirian masing-masing dan Pas tidak akan mencampurinya,” katanya.

Tambah beliau, Pas mengambil kira tentang ramainya ahli Bersatu yang kekal mahu berkerjasama dengan Pas, dan perkara itu adalan dialu-alukan.

“Tumpuan Pas adalah terarah kepada usaha memperkasa parti bagi memikul amanah dan aspirasi rakyat dengan lebih berkesan.

“Pas juga akan terus berusaha menjayakan perpaduan politik Melayu Islam serta muafakat pelbagai kaum demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast