KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan kerajaan untuk mengeluarkan warta pihak ketiga terhadap mana-mana individu yang berhasrat mencabar permohonan pelucuthakan jongkong emas seberat 3.85 kilogram (kg) yang disita daripada seorang kontraktor.
Kontraktor itu, Mohamad Amirul Yusrie Aminorddin @ Ab Kadir, 31, merupakan kenalan kepada isteri bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar @ Kamaruddin.
Hakim Suzana Hussin menetapkan 31 Julai ini bagi pendengaran permohonan itu daripada mana-mana individu yang mempunyai kepentingan ke atas jongkong emas tersebut.
Sekiranya tiada pihak ketiga tampil ke mahkamah, harta berkenaan akan dilucuthak kepada kerajaan.
Mahkamah membenarkan permohonan warta pihak ketiga itu mengikut Seksyen 41(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon agar notis kepada pihak ketiga dikeluarkan berikutan peguam Muhammad Kausar Mohd Khairi yang mewakili Mohamad Amirul Yusrie mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.
Berdasarkan notis yang difailkan pada 4 Mei lalu, pendakwa raya memohon supaya jongkong emas seberat 3.85 kg yang disita di bawah Subseksyen 41(1) Akta SPRM 2009 dilucut hak kepada kerajaan.
Pada 15 Januari lalu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata nilai keseluruhan sitaan dalam operasi dinamakan Op Parasit yang bermula sejak 23 Disember 2025 terhadap bekas PTD dianggarkan RM11.4 juta manakala 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta telah dibekukan.
Antara sitaan dalam kes tersebut ialah RM4.4 juta wang tunai, RM1.4 juta mata wang asing, seunit kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 dan 26 jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.
Turut disita barang kemas bernilai RM294,039, dua cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas 3.7 kg bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780. – MalaysiaGazette















