Sebanyak enam saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

ALOR SETAR – Cubaan seorang lelaki Rohingya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak berhasil apabila dia berjaya ditahan dalam operasi di Jalan Simpang Empat, Tokai, dekat sini semalam.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki warga asing berusia 26 tahun itu cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota Unit Penguat Kuasa Bermotosikal (Falcon) JPJ Kedah yang sedang menjalankan tugas pemantauan di lokasi berkenaan pada jam 10.30 pagi.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya ditahan dan ketika disoal siasat dia memaklumkan sedang dalam perjalanan ke pasar. Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu gagal mengemukakan lesen memandu yang sah.

“Susulan itu, tindakan penguatkuasaan tetap diambil terhadap lelaki terbabit atas kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen yang sah,” katanya hari ini.

Tambah beliau, sebanyak enam saman dikeluarkan melibatkan kesalahan lesen memandu dan kesalahan teknikal kenderaan.

“Motosikal tersebut turut disita dan dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, pemilik motosikal juga akan dikenakan tindakan kerana membenarkan kenderaannya digunakan oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast